Laptop yang semakin perlahan memang boleh buat kerja harian jadi kurang menyenangkan.

Baru nak buka browser pun mengambil masa, aplikasi lambat bertindak balas dan kadang-kadang kursor pula tiba-tiba ‘freeze’. Kalau sudah sampai tahap ini, perkara pertama yang mungkin terlintas di fikiran ialah sudah tiba masanya untuk beli laptop baharu.

Sebenarnya, jangan terburu-buru.

Laptop slow tidak semestinya bermaksud peranti tersebut sudah rosak atau tidak boleh digunakan lagi. Dalam sesetengah keadaan, prestasinya boleh diperbaiki dengan beberapa langkah mudah tanpa perlu mengeluarkan bajet yang besar.

Sebelum mula melihat laptop baharu, cuba buat lima perkara ini dahulu.

1. Buang fail dan aplikasi yang sudah tidak digunakan

Antara punca laptop menjadi perlahan ialah ruang storan yang semakin penuh.

Fail kerja lama, gambar, video, fail muat turun dan aplikasi yang sudah tidak digunakan mungkin masih tersimpan dalam laptop tanpa disedari.

Apabila ruang storan semakin berkurangan, prestasi laptop juga boleh terjejas, terutama jika sistem perlu menggunakan ruang kosong untuk menjalankan proses tertentu.

Jadi, cuba semak folder seperti Downloads, Desktop, Documents dan Recycle Bin.

Buang fail yang memang sudah tidak diperlukan dan nyahpasang aplikasi yang sudah lama tidak digunakan.

Kalau ada fail penting tetapi jarang digunakan, anda juga boleh memindahkannya ke storan luaran atau perkhidmatan cloud.

Tak perlu sampai semua fail dibuang. Cukup pastikan storan utama mempunyai ruang kosong yang mencukupi untuk sistem beroperasi dengan lebih lancar.

2. Kurangkan aplikasi yang berjalan ketika laptop dihidupkan

Laptop

Pernah tak laptop baru sahaja dihidupkan tetapi sudah terasa berat?

Salah satu sebabnya mungkin terlalu banyak aplikasi yang ditetapkan untuk dibuka secara automatik ketika anda menghidupkan laptop.

Aplikasi seperti platform komunikasi, cloud storage dan pelbagai program lain mungkin berjalan di latar belakang walaupun anda belum menggunakannya.

Semakin banyak aplikasi yang aktif pada masa yang sama, semakin banyak sumber sistem seperti RAM dan pemproses digunakan.

Jadi, semak senarai aplikasi yang berjalan ketika startup dan matikan aplikasi yang tidak benar-benar diperlukan.

Namun, elakkan daripada menutup atau memadam proses sistem yang anda tidak kenali.

Jika tidak pasti fungsi sesuatu aplikasi, lebih baik semak dahulu sebelum membuat perubahan.

Langkah mudah ini boleh membantu mengurangkan beban laptop sebaik sahaja ia dihidupkan.

3. Jangan biarkan terlalu banyak tab browser terbuka

Kalau kerja anda banyak melibatkan browser, perkara ini mungkin kedengaran biasa.

Buka satu tab untuk email, satu lagi untuk Google Docs, kemudian YouTube, media sosial, WhatsApp Web dan beberapa laman lain. Tanpa sedar, sudah berpuluh-puluh tab terbuka dalam satu masa.

Masalahnya, setiap tab dan aplikasi yang aktif boleh menggunakan sumber sistem.

Jika laptop mempunyai RAM yang terhad, terlalu banyak tab dibuka serentak boleh menyebabkan prestasi menjadi perlahan.

Jadi, cuba tutup tab yang sudah tidak digunakan.

Anda juga boleh menggunakan ciri seperti tab sleeping atau memory saver yang tersedia pada sesetengah browser untuk mengurangkan penggunaan memori.

Kalau memang perlu membuka banyak tab untuk kerja, pertimbangkan untuk menggunakan browser dengan pengurusan memori yang lebih baik atau tambah kapasiti RAM jika laptop menyokongnya.

Kadang-kadang, masalah laptop slow sebenarnya berpunca daripada terlalu banyak perkara yang sedang berjalan serentak.

4. Pastikan sistem operasi dan aplikasi sentiasa dikemas kini

Laptop Slow Bukan Semestinya Kena Tukar Baru, Cuba Buat 5 Perkara Ini Dulu

Update bukan sekadar untuk mendapatkan ciri baharu.

Kemas kini sistem operasi dan aplikasi juga boleh merangkumi pembaikan bug, peningkatan kestabilan serta ciri keselamatan.

Jika laptop sudah lama tidak dikemas kini, mungkin terdapat masalah perisian yang menyebabkan sistem berjalan kurang lancar.

Jadi, semak sama ada terdapat kemas kini yang masih tertangguh untuk sistem operasi dan aplikasi utama yang anda gunakan.

Pada masa sama, pastikan anda membuat kemas kini daripada sumber rasmi dan elakkan memasang perisian daripada laman web yang mencurigakan.

Selepas melakukan kemas kini, restart laptop dan lihat sama ada prestasinya bertambah baik.

Jika masalah hanya berlaku selepas memasang aplikasi tertentu, anda juga boleh cuba nyahpasang aplikasi tersebut untuk melihat sama ada ia menjadi punca laptop perlahan.

5. Periksa RAM dan storan, mungkin sudah tiba masa untuk upgrade

Kalau sudah cuba semua langkah di atas tetapi laptop masih perlahan, mungkin masalahnya berkaitan dengan perkakasan.

Dua perkara yang boleh diperiksa ialah RAM dan storan.

RAM yang kecil boleh menyebabkan laptop sukar mengendalikan banyak aplikasi pada masa yang sama. Ini lebih ketara jika anda selalu menggunakan aplikasi yang memerlukan banyak memori atau membuka banyak tab browser.

Sementara itu, jenis storan juga boleh memberi kesan kepada kelajuan laptop.

Laptop lama yang masih menggunakan hard disk drive atau HDD boleh terasa jauh lebih perlahan berbanding peranti yang menggunakan solid-state drive atau SSD.

Jika model laptop anda menyokong peningkatan RAM atau pertukaran storan kepada SSD, naik taraf komponen tersebut mungkin lebih berbaloi berbanding terus membeli laptop baharu.

Bagaimanapun, periksa spesifikasi laptop terlebih dahulu kerana tidak semua model membenarkan RAM atau storan dinaik taraf dengan mudah.

Laptop slow tak semestinya kena beli baru

Apabila laptop mula perlahan, memang mudah untuk menganggap peranti tersebut sudah tidak boleh digunakan.

Namun, jangan terus keluarkan duit untuk membeli yang baharu.

Cuba periksa perkara asas terlebih dahulu seperti ruang storan, aplikasi startup, tab browser, kemas kini sistem serta penggunaan RAM.

Jika selepas semua langkah tersebut laptop masih perlahan, barulah pertimbangkan sama ada ia memerlukan pemeriksaan teknikal atau naik taraf komponen.

Malah, jika masalah hanya berpunca daripada storan yang hampir penuh atau terlalu banyak aplikasi berjalan di latar belakang, anda mungkin boleh menyelesaikannya tanpa membelanjakan satu sen pun.

Jadi sebelum mula mencari laptop baharu, cuba selamatkan laptop yang ada terlebih dahulu.