Lebih 10 tahun menyepi dari industri seni, pelakon dan pengarah, Pierre Andre kembali membuat kemunculan semula selepas diberi kepercayaan untuk mengarahkan filem sekuel Jangan Pandang Belakang 2 – Aku Tahu Asal Usulmu.
Sebelum ini, kehilangan Pierre dari dunia seni lakonan dan pengarahan mencetus tanda tanya ramai tetapi alasan pengarah itu adalah dia ingin memberi fokus pada keluarga.
Baca Juga:
- ‘Mak Tiri Paling Function’ – Lakonan Erra Fazira Bikin Netizen Puas Hati
- Awie: “Kau Tu Haji, Tetapi Pergi Menjahanamkan Periuk Nasi Orang Untuk Apa?”
- Eddy Badry: ‘Saya Yang Tubuhkan XPDC! Apa Lu Cerita?’
Dalam satu sesi sidang media, Pierre turut mendedahkan dirinya sudah 10 tahun tidak menggunakan telefon bimbit dan sekiranya ada mana-mana pihak yang mencari, perlu berhubung dengan isterinya.
Tambahnya, sejak berkahwin dengan Siti Nur Hidayah, sudah 11 tahun dia tidak menggunakan telefon bimbit mahupun mempunyai akaun media sosial.
“Bagi saya, telefon hanya untuk merakam video kandungan YouTube, bukan alat berkomunikasi dengan orang lain.
“Saya rasa sangat bebas tidak menggunakan telefon. Berbeza dengan masa saya sebelum kahwin, phone bagi saya tekanan.” ujar Pierre.
Bercakap tentang filem sekuel Jangan Pandang Belakang 2 ini, Pierre mengatakan dia mengambil masa yang lama untuk menerima tawaran daripada David Teo kerana bimbang untuk menghasilkan naskhah yang lebih hebat daripada filem pertama.
Filem sekuel yang hadir selepas 17 tahun itu dijangka menemui penonton pada hujung tahun ini menampilkan barisan pelakon seperti Emma Maembong, Iedil Dzuhrie Alaudin, Mawar Rashid, Alif Hadi, Khatijah Tan, Ruminah Sidek dan Cat Farish.