Penganalisis sukan, Datuk Dr Pekan Ramli berpendapat kepentingan negara adalah keutamaan berbanding aspek hak imej dan penajaan melibatkan pemain badminton profesional negara, Lee Zii Jia.
Zii Jia dilaporkan mengemukakan beberapa syarat kepada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dalam rundingan melibatkannya dengan tawaran badan induk badminton negara itu untuk menyertai skuad Piala Thomas 2026.
Selain itu menurut sumber Harian Metro, pemainĀ ranking ke-64 dunia tersebut meminta masa seminggu untuk membuat keputusan.
Perkara itu disahkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Prestasi BAM, Dato’ Seri Lee Chong Wei.
Melihatkan kepada perkembangan semasa itu, Pekan melihat pertimbangan melibatkan negara perlu menjadi keutamaan berbanding semua perkara.
“Dalam konteks sukan profesional, jika benar terdapat kerugian dari segi penajaan atau manfaat, adalah wajar untuk kedua-dua pihak berbincang mengenai pampasan.”
“Pertimbangan utama mestilah kepentingan negara kerana apabila negara memerlukan khidmat anda, tanggungjawab itu perlu didahulukan daripada segala-galanya.”
“Saya mengalu-alukan sikap memahami Chong Wei kerana sebagai bekas pemain, beliau tahu realiti sebenar.”
“Namun toleransi tetap perlu berpandukan kepada apa yang terbaik untuk negara,” ujar beliau menurut sumber laporan New Straits Times.
Kehadiran Lee Zii Jia Jadi Nilai Tambah
Dalam perkembangan sama, Pekan melihat kehadiran Lee Zii Jia bersama skuad negara di Horsens, Denmark itu amat penting.
Dengan kedudukan rankingnya ketika ini, anak kelahiran Alor Setar itu berkemungkinan akan menjadi pemain perseorang ketiga dibelakang Leong Jun Hao dan Justin Hoh.
“Dalam situasi semasa, kita benar-benar memerlukannya sebagai perseorangan ketiga kerana peranan itu boleh menjadi titik perubahan dalam perlawanan penting.”
“Strategi itu bukan baharu kerana China juga pernah menyusun barisan mereka secara strategik sebelum ini, dan kehadiran Zii Jia akan mengembalikan keseimbangan antara bahagian perseorangan dan beregu kita,” katanya.