Pemain badminton perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia  mengumumkan bahawa musim 2025 sudah berakhir buatnya dan menumpukan perhatian sepenuhnya kepada kalendar kejohanan 2026.

Dalam kenyataan rasmi yang dikongsi sendiri oleh Zii Jia di laman Instagram peribadi miliknya, beliau mendedahkan bahawa 2025 merupakan tahun yang penuh dengan cabaran dari segi fizikal dan emosi buat dirinya.

Baca Juga:

Keadaan tersebut dirasai Zii Jia terutamanya berkaitan kecederaan buku lali dan sakit belakang yang berlarutan.

Kecederaan berpanjangan dialami itu menyebabkan Lee Zii Jia kini berada di ranking ke-63 dunia.

Namun semua itu tidak melemahkan semangat juang beliau untuk bangkit pada tahun 2026 dengan lebih hebat.

Musim 2025 Berakhir Buat Lee Zii Jia

“Seperti yang anda semua maklum, 2025 merupakan tahun yang agak mencabar dan juga menjadi satu proses pembelajaran bagi saya dalam menguruskan kesihatan fizikal.”

“Ada hari-hari saya berasa cergas dan bertenaga, tetapi ada juga hari-hari saya masih merasai kesan daripada kecederaan buku lali serta sakit belakang yang berlarutan.”

“Sejak perlawanan kompetitif terakhir saya di China Masters pada bulan September, pasukan saya dan saya telah bekerjasama rapat dengan pakar perubatan untuk menentukan cara terbaik bagi memastikan saya dapat bertanding dengan prestasi terbaik.”

“Setelah mengambil kira semua maklum balas, dan yang paling penting, mendengar tubuh badan saya sendiri, saya rasa adalah lebih baik untuk menutup bab 2025 dan fokus kepada kalendar 2026 yang bakal tiba.”

“Untuk mengatakan bahawa tahun ini penuh dengan naik turun dari segi fizikal dan emosi adalah satu pernyataan yang kurang tepat, tetapi ia juga banyak mendedahkan tentang diri saya, siapa sangka bahawa saya juga meminati seni.”

“Ucapan terima kasih saya kepada ramai pihak, keluarga, rakan-rakan, pasukan saya, penaja yang sentiasa berada di sisi saya sejak hari pertama dan sudah tentu peminat yang saya nantikan untuk bertemu lagi tidak lama lagi.”

“Saya tetap bermotivasi dan bersemangat untuk kembali ke gelanggang. Januari sudah semakin hampir,” tambah Lee Zii Jia lagi.

Keputusan ini menandakan bahawa Zii Jia akan menggunakan tempoh hujung tahun ini untuk pemulihan sepenuhnya sebelum menghadapi musim 2026 yang dijangka menjadi cabaran baharu dalam karier pemain berusia 27 tahun itu.