Apit kanan Thailand, Pornchai Kaokaew mengumumkan persaraannya secara rasmi sebagai atlet skuad kebangsaan Thailand pada usia 44 tahun.

Dalam satu kenyataan yang dimuat naik di media sosial peribadi miliknya, pelibas legenda itu mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih atas setiap detik hebat sepanjang beliau diberi penghormatan mewakili Thailand di pentas antarabangsa.

Baca Juga:

Tidak hanya bersara di pentas antarabangsa, beliau juga menggantung kasut daripada aksi domestik selepas dilihat sudah mula bergelar jurulatih di Ratchaburi Takraw Club.

“Sudah tiba masanya untuk saya mengucapkan terima kasih kepada semua. Hari ini adalah hari saya mengucapkan selamat tinggal secara rasmi sebagai ‘atlet skuad kebangsaan Thailand’.”

“Saya Leftenan Pornchai Kaokaew ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih atas setiap detik yang telah berlalu sepanjang saya diberi penghormatan untuk berbakti kepada negara.”

Legenda Sepak Takraw Thailand, Pornchai Kaokaew Umum Persaraan Pada Usia 44 Tahun
Pornchai bersama teman baiknya. Pattarapong Yupadee yang juga merupakan legenda Thailand. Kredit Foto: Facebook Pornchai Kaokaew TK Club

“Setiap sokongan, setiap kenangan, setiap perlawanan, dan setiap pingat yang saya raih — semuanya bukanlah kejayaan yang terhasil daripada usaha saya seorang sahaja.”

“Oleh itu, saya ingin merakamkan ucapan terima kasih yang setulus hati kepada ibu bapa dan keluarga saya, Persatuan Sepak Takraw Thailand, Angkatan Tentera Darat, semua kelab yang pernah saya wakili, pengurus pasukan, jurulatih dan rakan sepasukan, abang, kakak, adik serta semua atlet yang telah berlatih, berjuang dan bertanding bersama saya selama ini.”

“Semua rakan-rakan media yang sentiasa memberi sokongan dan menyebarkan kisah sepak takraw kepada orang ramai.”

Pasukan Jemputan
Kredit Foto: Ratchaburi Takraw Club

“Walaupun kerjaya saya sebagai atlet telah berakhir, namun perjalanan saya dalam dunia sepak takraw masih belum selesai.”

“Saya akan terus berada di sini untuk menyambung warisan dan perjuangan dalam sesuatu yang saya cintai dan yakini sepanjang hidup saya.”

Pornchai Kaokaew Legenda Thailand

Begitu meminati bola sepak, Pornchai akhirnya memilih untuk serius dalam sepak takraw dan keputusan tersebut nyata membuahkan hasil apabila mengecapi begitu banyak kejayaan sepanjang bersama skuad kebangsaan Thailand sehingga bergelar antara legenda ulung negaranya.

Pornchai Kaokaew dikhabarkan akan membimbing Ratchaburi Takraw Club dalam menghadapi STL Champions Cup 2025 di Seremban, minggu hadapan.