Belum pun sempat Mauricio Pochettino membina pengaruhnya di Manchester United, legenda kelab itu, Phil Neville sudah menyuarakan kebimbangan terhadap sistem permainan yang bakal digunakannya.
Legenda Manchester United, Phil Neville secara terbuka mengkritik penggunaan formasi 3-4-3 yang dikaitkan dengan Pochettino, khususnya sistem tiga pemain pertahanan yang pernah menjadi antara punca kegagalan Ruben Amorim di Old Trafford.
Menurut Phil, Manchester United sepatutnya mengekalkan identiti permainan yang sinonim dengan sejarah kelab itu, iaitu menggunakan empat pemain pertahanan dengan pendekatan bola sepak menyerang.
Beliau turut mengingatkan Pochettino supaya tidak cuba mengubah tradisi sebuah kelab sebesar Manchester United semata-mata untuk menyesuaikan pasukan dengan falsafah taktikal peribadinya.
“Saya sudah mengkaji Pochettino dan mendapati dia akan menggunakan sistem 3-4-3.
“Itulah masalah Amorim. Anda tidak boleh mengubah sejarah sesebuah kelab seperti United.
“Manchester United ialah kelab yang sinonim dengan sistem empat pemain pertahanan dan bola sepak menyerang,” katanya.
Kritikan Phil ini secara tidak langsung menghidupkan semula perdebatan mengenai penggunaan sistem tiga pertahanan di Old Trafford.
Sebelum ini, Ruben Amorim berdepan kesukaran untuk mendapatkan konsistensi bersama Manchester United menerusi sistem 3-4-3 yang menjadi pegangan utamanya.
Antara persoalan terbesar ialah sama ada Pochettino mampu membuktikan sistem tiga pertahanan boleh berfungsi di United, atau beliau perlu mengubah pendekatan taktikal bagi menyesuaikan diri dengan identiti kelab.
Apa yang jelas, tekanan terhadap pengurus Manchester United bukan sekadar datang daripada keputusan perlawanan. Cara pasukan itu bermain juga sentiasa menjadi perhatian penyokong dan bekas pemain.