Seorang pemilik kenderaan elektrik (EV) dari Malaysia yang dikenali sebagai KZ mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi individu pertama memandu kereta elektrik Tesla sejauh lebih 7,000 kilometer dari Kuala Lumpur hingga ke Shanghai, China.
Menerusi video dikongsikan Tesla Asia, perjalanan yang mengambil masa selama lebih 20 hari itu menyeberangi beberapa buah negara Asia Tenggara termasuk Thailand dan Laos sebelum memasuki sempadan tanah besar China.
KZ, yang memandu model Tesla Model 3 Long Range 2024, berkongsi bahawa hasratnya bermula selepas beliau menjual kenderaan berasaskan bahan petrol dan mahu menyahut cabaran untuk melihat sejauh mana kemampuan kenderaan elektrik.
“Oleh kerana kenderaan Tesla saya dikeluarkan di Gigafactory Shanghai, saya berfikir alang-alang sudah berada di jalan raya, apa salahnya saya membawa kereta ini ‘pulang’ ke kilang asalnya,” kata KZ.
From Kuala Lumpur, Malaysia to Gigafactory Shanghai – a 7,000 km drive taking Model 3 back to its birthplace
Sometimes, the longest journey takes you home 🏠 pic.twitter.com/eNecDjpqtH
— Tesla Asia (@Tesla_Asia) October 14, 2026
Mengulas mengenai perjalanan tersebut, beliau mengakui bahawa infrastruktur pengecasan di Thailand amat memuaskan dan melebihi jangkaannya, sekali gus menghilangkan kebimbangan mengenai jarak pemanduan (range anxiety).
Walau bagaimanapun, beliau berdepan cabaran getir ketika merentasi Laos akibat keadaan jalan raya yang rosak teruk dan berlubang.
“Sektor sepanjang 200 kilometer di Laos mengambil masa sehingga 10 jam kerana keadaan jalan yang amat teruk. Namun, kenderaan ini berjaya merentasinya tanpa sebarang masalah teknikal,” katanya.
Sebaik tiba di Kunming, China, beliau terus membuat tempahan pemeriksaan di pusat servis Tesla tempatan untuk memastikan keadaan kenderaannya berada dalam tahap optimum sebelum meneruskan perjalanan ke Shanghai.
Menurut KZ, prestasi kenderaan tersebut sepanjang perjalanan adalah amat memuaskan, terutamanya dari segi ketahanan bateri dan ciri keselamatan automatik yang membantu tindak balas brek ketika pemanduan di kawasan berisiko.
Perjalanan rentas negara ini bukan sahaja membuktikan keupayaan dan kebolehtahanan kenderaan elektrik bagi pemanduan jarak jauh, malah turut menghubungkan komuniti peminat teknologi dan EV dari pelbagai negara.