Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) disarankan untuk memantau pempengaruh (influencer) dan usahawan kosmetik yang secara sengaja mempamerkan kekayaan luar biasa di media sosial, sebagai langkah awal dalam memerangi jenayah berkaitan dadah dan pengubahan wang haram.
Memetik Free Malaysia Today, Aktivis antiscam, Rahmat Fitri Abdullah, menyatakan bahawa terdapat individu yang kini membuat hantaran seperti ‘tidur di atas wang’ dan mempamerkan sejumlah besar wang ketika bersiaran langsung di TikTok.
Baca Juga:
- ‘Tak Boleh Terima Sumbangan Hasil Sumber Haram Influencer, Founder Bisnes’ – Mufti Kelantan
- Polis Dedah Taktik Influencer, Founder Kosmetik Di Kelantan Jadi Tauke Besar Sindiket Dadah
- Polis Dakwa Pengasas Produk, Influencer Kelantan Terlibat Pengedaran Dadah & Pengubahan Wang Haram
Menurutnya, situasi tersebut menimbulkan keraguan terhadap keaslian perniagaan yang dijalankan.
“Berdasarkan pemerhatian di media sosial, saya percaya ada peluang untuk siasatan dibuat terhadap mereka yang bertindak menayangkan duit banyak dan kekayaan tidak masuk akal.
“Tindakan tersebut sangat mencurigakan. Pada saya apa sahaja keraguan yang timbul, LHDN perlu masuk siasat dan dari situ kita boleh tahu sama ada perniagaan mereka ini sah atau sebaliknya,” katanya kepada FMT.
Apabila diminta mengulas pendedahan Ketua Polis Kelantan berhubung kegiatan pengedaran dadah dan pengubahan wang haram, Rahmat menyatakan bahawa Kebanyakan daripada mereka menggunakan modus operandi yang sama, iaitu menjadikan perniagaan sebagai penyamaran untuk menyembunyikan kegiatan jenayah.
Memetik laporan itu lagi, Pakar kriminologi bebas, Shahul Hamid Abd Rahim menggesa Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) untuk menyiasat pendaftaran syarikat bagi memastikan operasi dan aktivitinya mematuhi undang-undang.
Tambahnya lagi, siasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga diperlukan bagi memastikan hasil perniagaan diperoleh daripada sumber yang sah.
“Pempengaruh perlu tunjukkan bukti sumber hasil pendapatan mereka dari mana. Kemungkinan ada perniagaan yang sah, tetapi apa pun ia perlu dibuktikan,” katanya.
Terdahulu, Ketua Polis Kelantan mendedahkan taktik yang digunakan oleh influencer dan founder kosmetik yang berselindung di sebalik perniagaan untuk membuat bisnes haram dan aktiviti mencuci wang.