Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) secara rasminya telah menguatkuasakan garis panduan baharu yang mewajibkan pempengaruh media sosial mengisytiharkan semua bentuk pendapatan bagi tujuan percukaian.
Memetik Harian Metro, perubahan besar dalam ketetapan ini adalah merangkumi penerimaan barangan percuma, sampel produk, baucar diskaun, dan hadiah digital (gift) yang mempunyai nilai komersial.
Jika dahulu ia dianggap sekadar pemberian, kini nilai barangan tersebut wajib dilaporkan sebagai sebahagian daripada pendapatan kasar pempengaruh.
Langkah ini diambil di bawah kuasa Seksyen 134A Akta Cukai Pendapatan 1967 bagi memastikan ketelusan seiring dengan kepesatan ekonomi digital.
LHDN menjelaskan bahawa tanggungjawab ini bukan sahaja terpakai kepada pempengaruh individu seperti artis, atlet, atau suri rumah, malah turut melibatkan “pempengaruh berasaskan objek” seperti watak animasi atau identiti digital yang dicipta khusus untuk menarik pengikut di media sosial.
Selain bayaran tunai daripada platform seperti YouTube atau TikTok, pendapatan yang perlu dilaporkan termasuklah yuran duta produk (endorsement), jualan barangan peribadi (merchandise), royalti watak, hingga ke hasil jualan akaun atau ID media sosial.
Malah, segala bentuk bayaran di bawah kod perkhidmatan seperti yuran bakat, fi pengurusan, dan khidmat rundingan juga dikira sebagai pendapatan perniagaan yang sah.
Walau bagaimanapun, pempengaruh dibenarkan untuk membuat tuntutan perbelanjaan bagi kos-kos berkaitan perniagaan seperti bil internet, kos penggambaran, dan penyuntingan bahan di bawah Seksyen 33 ACP.
Sebagai langkah pematuhan, golongan ini dinasihatkan untuk menyimpan segala rekod transaksi, kontrak, dan dokumen sokongan secara sistematik selama tujuh tahun bagi tujuan audit.
Pengiktirafan ini secara tidak langsung meletakkan kerjaya pempengaruh setaraf dengan bidang profesional lain yang mempunyai tanggungjawab fiskal terhadap negara.