Skuad Arne Slot, Liverpool sekali lagi mengalami kekalahan. Pasukan bimbingan Slot kini tewas dalam lima daripada enam perlawanan terakhir mereka — dengan Brentford menjadi pasukan terbaru yang menjadikan Liverpool sebagai mangsa.

Liverpool yang dahulunya sarat dengan keyakinan kini kelihatan hilang arah. Mereka kini sudah kalah 4 kali dalam kempen EPL musim ini, jumlah yang sama mereka catatkan untuk satu musim penuh musim lalu.

Mereka semakin merosot dalam carta Liga Perdana Inggeris, dengan seteru utama Manchester United — yang menewaskan mereka minggu lalu — kini memintas kedudukan mereka dalam liga.

Liverpool tampak hilang kepercayaan diri; dalam tempoh lima minit pertama, Dango Ouattara sudah membuka jaringan untuk Brentford.

Pasukan Slot jelas tidak mampu memberikan tentangan kepada Brentford yang benar benar bermain jauh lebih baik.

Kevin Schade menggandakan jaringan sebelum rehat separuh masa, dan Milos Kerkez hanya mampu memberi sedikit harapan dengan golnya. Namun Liverpool tidak pernah benar-benar bangkit, masih ketandusan idea ketika Brentford terus menguasai permainan.

Nasib malang Liverpool terus berganda apabila sepakan percuma bertukar menjadi penalti, dan Igor Thiago dengan tenang menolak bola melepasi Giorgi Mamardashvili untuk gol ketiga Brentford.

Slot kelihatan terdesak, mencuba pelbagai percaturan — mengeluarkan pemain termahalm dalam sejarah EPL, Florian Wirtz, untuk memasukkan Joe Gomez, hanya untuk membolehkan Dominik Szoboszlai kembali ke posisi tengah.

Mohamed Salah membuktikan dia masih ada sentuhan magisnya apabila mengawal bola dengan kemas sebelum melepaskan rembatan padu ke penjuru atas gawang.

Namun gol itu sudah terlalu lambat untuk Liverpool cuba mengelak kekalahan keempat mereka dalam EPL musim ini.

Liverpool kini jatuh ke tangga keenam — di luar kelompok Liga Juara-Juara — dan keadaan boleh menjadi lebih buruk lagi dengan Tottenham Hotspur dan Crystal Palace berpotensi memintas mereka.

Dan perkara yang paling menakutkan buat Slot dan penyokong Liverpool — cabaran seterusnya ialah Manchester City, yang kini semakin menunjukkan taring sebenar mereka.