Liverpool secara rasmi mengumumkan perubahan besar dalam operasi komersial kelab selepas memeterai perjanjian penajaan bersama Turkish Airlines.
Satu keadaan yang bakal menyaksikan nama baharu menghiasi jersi merah ikonik mereka bermula musim hadapan.
Perjanjian tersebut menandakan berakhirnya kerjasama jangka panjang selama hampir 17 tahun bersama Standard Chartered, selain menunjukkan hasrat Liverpool untuk bersaing di kelompok teratas dari segi kekuatan kewangan dalam bola sepak Eropah.
Turkish Airlines Bakal Taja Liverpool
The Reds mengesahkan Turkish Airlines akan mengambil alih sebagai rakan kongsi utama baharu kelab bermula musim 2027-28.
Menurut sumber laporan Goal, kontrak selama lima tahun itu dianggarkan bernilai lebih £60 juta setahun, sekali gus menjadikan nilai keseluruhan perjanjian tersebut mencecah angka luar biasa £300 juta.
Perkembangan tersebut menyaksikan The Reds tidak lagi menggunakan Standard Chartered sebagai penaja utama di bahagian hadapan jersi, namun bank yang berpangkalan di London itu tidak akan meninggalkan kelab sepenuhnya.
Selepas berperanan sebagai penaja utama sejak 2010, Standard Chartered akan beralih kepada peranan sebagai rakan kongsi global Liverpool.
Ketua Pegawai Komersial Liverpool, Ben Latty menyifatkan perubahan tersebut sebagai satu perkembangan penting buat The Reds.
“Ini merupakan satu pengumuman yang cukup bersejarah buat kami dan kami amat berbesar hati untuk mengalu-alukan Turkish Airlines sebagai rakan kongsi utama kelab bermula Jun 2027,” kata Latty menerusi laman sesawang rasmi kelab.
“Bahagian hadapan jersi Liverpool mempunyai tempat yang cukup istimewa dalam sejarah kelab kami.”
“Turkish Airlines merupakan sebuah organisasi yang diiktiraf di seluruh dunia dengan rangkaian antarabangsa yang begitu luas. Kami tidak sabar untuk memulakan kerjasama ini dan membina hubungan yang kukuh bersama mereka, dengan asas yang sudah terbina menerusi kenangan istimewa pada tahun 2005.”