Dalam satu kenyataan yang penuh emosi di laman Instagram peribadinya, kapten Perak FC, Luciano Guaycochea meluahkan rasa kecewanya terhadap pengurusan kelab.
Ia berikutan kegagalan pengurusan tertinggi Perak FC bagi memenuhi tanggungjawab mereka terhadap pemain, khususnya dalam menyelesaikan tunggakan gaji.
Baca Juga:
- Sokongan Swasta & Awam Tak Hadir, Langganan TBG Tersasar – Pengerusi Dedah Punca Perak FC ‘Gugur’
- Krisis Kewangan Memuncak: Perak FC Dilapor Bakal Tarik Diri Daripada Saingan Liga Super 2025/26
- Luciano Guaycochea Teruja Tonton Aksi STL 2024, Anggap Sepak Takraw Sukan Yang ‘Gila’
Seperti dilaporkan sebelum ini, pengurusan Perak hanya mahu menjelaskan 20 peratus sahaja daripada tunggakan keseluruhan kepada setiap pemain dan barisan kejurulatihan dengan alasan tidak mempunyai bajet untuk menyelesaikan secara keseluruhan hutang tersebut.
Kaedah itu nyata ditentang hebat para pemain kerana sudah pastinya mereka mahu keseluruhan hak mereka setelah segala yang telah dicurahkan sepanjang musim ini.

Luciano Guaycochea Luah Kekecewaan
“Sebagai kapten Perak FC, saya ingin menyatakan rasa kecewa saya dengan pengurusan atas cara mereka melayan rakan sepasukan saya dan diri saya sendiri!”
“Kami berhak untuk menerima semua tunggakan gaji yang masih belum dibayar! Kami telah memberikan begitu banyak kepada kelab!”
Susulan dengan masalah dihadapi, Luciano Guaycochea yang sudah tiga musim bersama Perak turut mengucapkan selamat tinggal buat pasukan.
Dikhabarkan beberapa kelab dalam saingan Liga Super berminat untuk mendapatkan khidmatnya.

Sementara itu dalam perkembangan sama mengenai tunggakan gaji, Pengerusi Perak FC, Datuk Seri Azim Zabidi semalam mendedahkan sebab utama masalah kewangan melanda pasukan tersebut.
Beliau menegaskan sokongan yang diharapkan dalam usaha membantu meningkatkan kantung pasukan tidak berjalan seperti diharapkan.
“Sokongan daripada sektor awam dan swasta di Perak tidak hadir dan pertumbuhan yang dijangkakan dalam jumlah langganan TBG [pelan kad sim telco] juga jauh dari sasaran.”
“Dana dalaman kini sudah habis dan kami tidak mampu untuk teruskan lagi,” ujar beliau menurut sumber laporan BH Online.