Kita sering kali mendengar kisah mimpi ngeri buat mangsa yang dijerat ke pusat penipuan di Myanmar yang mana hampir mustahil untuk pulang ke tanah air.
Namun, Yang Lei, seorang bekas tentera dari utara China, berdepan pengalaman mendebarkan apabila terpaksa melarikan diri dari sebuah pusat penipuan (scam hub) di Myanmar.
Memetik laporan SCMP, kejadian bermula pada pertengahan bulan Mac apabila beliau membawa 10 orang pelancong ke kawasan sempadan Thailand-Myanmar.
Pemandu pelancong tempatan mereka cuba merentas sempadan secara haram, menyebabkan kesemua 11 ahli kumpulan itu ditangkap dan dijual kepada sindiket penyeludup dengan harga 20,000 USDT (~RM79,050) setiap seorang.

Mereka kemudiannya dikurung di sebuah pusat penipuan yang dipanggil “KK 2.0” di Payathonzu.
Sebaik sahaja tiba di kem tersebut, kumpulan mereka telah dipukul sebagai dendaan. Berang dengan kejadian itu, Yang bertindak membelasah pemandu pelancong terbabit sehingga separuh mati pada malam pertama.
“Dia berani berebut katil bawah selepas menyusahkan kami semua,” katanya. Tindakan Yang itu mengagumkan ketua kem tersebut, lalu dia ditawarkan keistimewaan untuk membuat panggilan telefon ke rumah.

Mengambil peluang keemasan tersebut, Yang menipu pengawal dengan mengatakan bateri telefon bimbitnya hampir habis.
Selepas mengecaj telefonnya, dia terus menghubungi polis China. Berbekalkan kemahiran bekas tenteranya, Yang berjaya memanjat tembok kem setinggi enam meter.
Dengan hanya berseluar pendek, berbaju tanpa lengan, dan memakai kasut Crocs, dia berlari meredah kawasan pergunungan.
Bagi mengelakkan bau badannya dikesan oleh anjing pengesan, Yang bertindak melumurkan najis lembu yang dijumpainya pada badannya, sambil menahan kesakitan akibat terkena duri di dalam hutan.
Dia tiba di sempadan pada pukul 1 pagi tetapi terpaksa bersembunyi kerana kawasan itu dikawal oleh seorang pengawal bersenjata.
Menjelang pukul 3 pagi, Yang nekad bertindak menyerang pengawal tersebut dari arah belakang lalu menumpaskannya menggunakan seutas tali jerami.
Beliau akhirnya berjaya melarikan diri ke Thailand dan tiba dengan selamat di Kedutaan China selepas mengharungi perjalanan yang penuh ketakutan.
Walaupun kini sudah pulang ke tanah air, trauma kejadian itu masih belum hilang. “Saya masih bermimpi berlari di pergunungan dan terjaga dalam keadaan berpeluh,” kongsi Yang di akaun media sosialnya bagi memberi amaran kepada orang ramai tentang bahaya pusat penipuan tersebut.