Penyerang muda negara, Luqman Hakim akhirnya membuat penampilan sulung bersama kelab baharunya iaitu Yokohama SCC pada perlawanan J-League Cup 2024 menentang kelab divisyen 2, Mito Hollyhock.

Lebih manis, kelab itu mencatat kemenangan 1-0 sekaligus layak ke pusingan kedua menentang wakil J-League 1, FC Tokyo pada 17 April ini.

Baca Juga:

Luqman diturunkan pada minit ke 77 bagi menggantikan tempat Wakizaka Ryohei dengan misi mempertahankan kelebihan satu gol yang dijaringkan oleh Koki Matsumura.

Menerusi rakaman video yang dikongsi menerusi laman X J-League Official, beliau beraksi di posisi sayap kiri dan sempat mengelecek beberapa pemain lawan.

Walaupun tidak menjaringkan sebarang gol, peminat berpendapat ada sedikit peningkatan dari segi keyakinan dan corak permainan Luqman apabila berjaya memberi tekanan kepada benteng pertahanan lawan.

Penampilan itu juga bermakna Luqman merupakan pemain kedua Malaysia yang beraksi dalam saingan J-League secara rasmi selepas Hadi Fayyadh dengan kelab Azul Claro Numazu.

Ketika ditanya mengenai sasarannya bersama pasukan musim ini, pemain pinjaman dari KV Kortrijk itu mahu menjaringkan sekurang-kurangnya 10 gol musim ini.

Luqman turut menerima sokongan kewangan daripada KV Kortrijk bagi menampung sebahagian daripada gajinya sepanjang tempoh berada di Jepun.

Perpindahan ini merupakan peluang Luqman Hakim untuk mendapatkan kembali prestasi terbaiknya sambil mengutip pengalaman berguna beraksi dalam Liga Jepun.

Sebelum ke Jepun, Luqman pernah menyertai kelab Iceland, Njardvik secara pinjaman selama enam bulan pada 7 Februari tahun lepas dan beliau berjaya mencipta impak positif bersama kelab tersebut.

Anak kelahiran Kota Bahru dijangka akan menyertai skuad Malaysia B-23 bagi menghadapi saingan Piala Asia B-23 yang berlangsung di Qatar pada bulan April nanti.