Penyerang skuad bawah 23 tahun kebangsaan, Luqman Hakim Shamsudin akan terus berkelana ke luar negara apabila dilaporkan telah menandatangani kontrak pinjaman selama setahun bersama kelab divisyen 3 Jepun dari KV Kortrijk.

Menurut laporan Sinardaily, kontrak itu bermula pada Januari hingga Disember 2024 tetapi identiti serta nama kelab tersebut tidak didedahkan ketika ini.

Baca Juga:

Malah, terdapat juga minat daripada kelab divisyen 2 Jepun namun Luqman memilih kelab divisyen 3 untuk mendapatkan lebih banyak minit permainan.

Sinardaily turut melaporkan Luqman akan menerima sokongan kewangan daripada KV Kortrijk bagi menampung sebahagian daripada gajinya sepanjang tempoh pinjaman itu.

Pemain yang berusia 21 tahun itu dijangka akan menyertai kelab tersebut pada penghujung Januari 2024 sebelum saingan liga bermula pada Februari.

Perpindahan ini merupakan peluang Luqman Hakim untuk mendapatkan kembali prestasi terbaiknya sambil mengutip pengalaman berguna beraksi dalam Liga Jepun.

Sebelum ini, Luqman menyertai kelab Iceland, Njardvik secara pinjaman selama enam bulan pada 7 Februari tahun lepas dan beliau berjaya mencipta impak positif bersama kelab tersebut.

Beliau menjaringkan beberapa gol dalam saingan liga dan juga Piala Bola Sepak Iceland sepanjang menyarung jersi Njardvik.

Manakala ketika aksi persahabatan, anak kelahiran Kota Bahru itu berjaya menjaringkan gol ketika menentang Reykjavíkur (satu gol) dan Haukar FC (dua gol).

Beliau juga dijangka akan menyertai skuad Malaysia B-23 bagi menghadapi saingan Piala Asia B-23 yang berlangsung di Qatar pada bulan April nanti.