Nualphan Lamsan atau lebih mesra dengan panggilan Madame Pang bakal menggalas tanggungjawab lebih besar terhadap perkembangan bola sepak di Thailand.
Hal ini kerana jutawan yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Muang Thai Insurance itu telah dipilih sebagai Presiden baharu Persatuan Bola Sepak Thailand (FAT).
Baca Juga:
- Ini Sebab Madame Pang Letak Jawatan Pengurus Thailand
- Madame Pang Beri Ganjaran 5 Juta Baht Kepada Pemain Thailand
- Kelayakan Piala Dunia: Madame Pang Beri Ganjaran Lumayan Kepada Pemain Thailand
Sumbangan besarnya buat bola sepak Thailand sejak 2008 sudah cukup meyakinkan sebahagian besar 73 perwakilan untuk memilihnya bagi menggantikan presiden terdahulu, Jeneral Somyot Poompanmoung yang memegang jawatan tersebut selama lapan tahun.
Menurut sumber di Thailand, Madame Pang mendapat 68 undian berbanding dua undian diterima Warong Witthaya manakala satu undi buat Thanasak Surprarasert.
Manakala satu perwakilan memilih untuk tidak mengundi dan satu lagi undi rosak diterima.
Satu kemenangan besar yang sekali gus menjadikannya sebagai wanita pertama memegang jawatan penting tersebut.
Tugasan pertama yang perlu diselesaikan dengan segera oleh Madame Pang sebaik sahaj menggalas tanggungjawab tersebut adalah berkaitan dengan pemilihan pemegang hak penyiaran bagi Thai League 1.
Liga tersebut masih belum mempunyai pemegang hak penyiaran meskipun musim 2023/24 sudah memasuki pertengahan saingan.
Masalah ini berlaku selepas kontrak dua tahun dimeterai pemegang hak sebelum ini, AIS sudah berakhir pada tahun lepas yang menyaksikan syarikat telekomunikasi tersebut membayar kira-kira 400 juta baht setahun kepada FAT.
Sebelum ini Madame Pang turut mengatakan bahawa tindakannya untuk merebut jawatan Presiden FAT adalah kerana ingin meningkatkan lagi kualiti bola sepak Thailand.
Malah, beliau turut berjanji aklan memperbaiki masalah kewangan dihadapi FAT, membantu perkembangan kelab dari asas dan mendapatkan lebih banyak daripada hak penyiaran.