Pada hari ini, Mak Cik Kemboja dan anaknya telah dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan menghina bangsa Melayu di media sosial sekaligus mengundang kemarahan orang ramai.

Peniaga wanita asal Kemboja dan anak lelakinya masing-masing bagaimanapun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, di sini, atas tuduhan berasingan mengeluarkan kenyataan dan memulakan komunikasi video jelik mendakwa orang Melayu sebagai malas di media sosial, bulan lalu.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Baca Juga:

Tertuduh, Mariyah Yaakob pada mulanya teragak-agak ketika disoal jurubahasa sama ada faham atau tidak pertuduhan dibacakan dalam Bahasa Melayu kepadanya dan terpaksa dibantu peguamnya, Kamal Hisham Jaafar.

Dia yang berada di kandang pesalah kemudian mengangguk faham dan menjawab ‘tidak mengaku bersalah’ dalam prosiding didengar Hakim Mohd Sabri Ismail.

Mengikut pertuduhan, Mariyah didakwa menggunakan aplikasi TikTok dan membuat suatu penyataan iaitu “… so ada apa-apa, kalau orang Kemboja memang pandai berniaga kan, betul tak? dan orang Kemboja memang rajin, nak dibandingkan dengan orang Melayu, malas…” dengan niat yang mungkin mengapikan kaum Melayu pada 16 November lalu, kira-kira jam 6 petang.

Rakaman itu kemudian ditonton di sebuah rumah di Bukit Piatu, Kampung Musai, di sini dan berikutan itu tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, anak lelakinya, Ezuan Hafsham Mohd Hisyam, 22, yang juga Pengarah Mariyah Holding turut tidak mengaku bersalah atas tuduhan secara sedar menggunakan aplikasi TikTok di alamat sama dengan membuat dan memulakan penghantaran komunikasi video yang memaparkan ibunya mengatakan kenyataan jelik itu antara 14 hingga 16 November lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama, yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya dan hendaklah juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Sementara itu, Pengarah Pendakwaan Negeri Melaka, Ahmad Sazali Omar tidak mencadangkan sebarang jaminan, namun sekiranya mahkamah ingin menggunakan budi bicara beliau mencadangkan jaminan minimum RM30,000 bagi setiap tertuduh.

Pendakwaan juga mencadangkan supaya pasport mereka diserahkan kepada mahkamah selain memohon perintah untuk menghalang kedua-dua tertuduh mengeluarkan sebarang kenyataan berkaitan kes bagi mengelakkan gangguan sepanjang prosiding mahkamah.

Kedua-dua tertuduh yang diwakili peguam Kamal Hisham Ja’afar merayu jumlah jaminan rendah dikenakan terhadap dua beranak itu memandangkan perniagaan yang dijalankan oleh tertuduh terkesan selepas diboikot disebabkan kontroversi berkenaan.

Kamal Hisham turut memohon mahkamah untuk tidak menahan pasport dua beranak itu kerana Mariyah sering ke luar negara bagi urusan perniagaan manakala anaknya pula masih belajar di sebuah universiti swasta di luar negara.

Ahmad Sabri kemudian membenarkan dua beranak itu diikat jaminan dengan jumlah RM15,000 dikenakan terhadap Mariyah dan RM 10,000 terhadap anaknya.

Beliau turut membenarkan semua permohonan termasuk syarat tambahan yang dipohon pihak pendakwaan. Mahkamah menetapkan 12 Januari depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen.