Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini mengumumkan Malaysia Airlines Berhad (MAB) sebagai penaja utama skuad Harimau Malaya dan FAM.
Perjanjian penajaan sebagai penaja utama skuad Harimau Malaya dan FAM itu adalah bagi tempoh tiga tahun bermula Januari 2024 hingga Disember 2026.
Baca Juga:
- Ini Rahsia Bangsa Cina Simpan Duit Yang Semua Orang Boleh Ikut
- Mengapa Pengguna CIMB Tidak Perlu Panik Dengan Servis DuitNow
- Menyesal Tidak Guna Lebih Awal, Peniaga Ini Kongsi Kelebihan Kad Kredit Untuk Bisnesnya
Dokumen perjanjian penajaan FAM bersama MAB itu telah ditandatangani oleh Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Hj Rahman dan Ketua Pegawai Komersial Penerbangan MAB, Dersenish Aresandiran, disaksikan oleh Presiden FAM, Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin dan Ketua Pegawai Eksekutif Penerbangan MAB, Ahmad Luqman Mohd Azmi.
“Jalinan kerjasama di antara FAM dan MAB bukan sahaja mencerminkan kesetiaan tetapi ia turut menunjukkan dedikasi serta komitmen mereka (MAB) terhadap arena bola sepak negara.
“Ia juga memberi mesej penting kepada penyokong-penyokong skuad kebangsaan di luar sana bahawa FAM bukan sahaja mampu memberikan nilai tambah kepada barisan penaja-penajanya malah dapat memberi impak yang positif terhadap sektor ekonomi negara.
“Saya percaya dengan kehadiran MAB sebagai penaja utama FAM dan skuad bola sepak kebangsaan, pelbagai kejayaan akan dapat digapai bersama. Terima kasih sekali lagi kepada MAB dan semoga jalinan kerjasama ini akan memacu dua organisasi ini ke arah kecemerlangan,” kata Datuk Haji Hamidin.
Sementara itu, Ahmad Luqman menambah: “Sebagai pembawa bendera negara, kami berbangga dalam mengekalkan perkhidmatan kami kepada skuad bola sepak negara dan memberikan sokongan berterusan kepada FAM melalui tajaan kami, kini dalam tahun keenam berturut-turut.
“Kami teruja untuk melanjutkan kerjasama ini selama tiga tahun lagi, sebagai sebahagian daripada visi strategik kami untuk memartabatkan sukan Malaysia ke tahap yang lebih tinggi. Syarikat penerbangan kami berdedikasi untuk memartabatkan bola sepak Malaysia ke platform global, mempamerkan bakat sukan negara sambil mengibarkan bendera setinggi-tingginya,” kata Ahmad Luqman.