Sokongan terhadap larangan penggunaan media sosial bagi remaja bawah 16 tahun kini semakin meningkat di peringkat global, dengan Malaysia muncul sebagai antara negara paling tinggi menyokong langkah tersebut.
Malaysia catat sokongan tertinggi dalam kalangan ibu bapa
Berdasarkan kajian Family First oleh Varkey Foundation, sebanyak 77% ibu bapa di Malaysia menyokong larangan ini, antara yang tertinggi dalam kalangan 15 negara yang dikaji.
Malaysia berada sebaris dengan India (75%) dan Perancis (74%), manakala Jepun mencatatkan kadar sokongan paling rendah iaitu 38%, diikuti Nigeria (39%) dan Amerika Syarikat (51%)
Sokongan tinggi dalam kalangan golongan muda
Selain ibu bapa, dapatan turut menunjukkan 62% remaja Malaysia berusia 9 hingga 18 tahun bersetuju dengan larangan tersebut.
Angka ini jauh mengatasi purata global sebanyak 37%, menunjukkan tahap kesedaran yang lebih tinggi dalam kalangan golongan muda tempatan.
Dalam perbandingan global, Malaysia dan India mencatatkan kadar sokongan tertinggi (62%), diikuti China (50%). Jepun pula merekodkan hanya 20%, manakala Argentina dan Sweden masing-masing 26%.
Gen Z Malaysia lebih terbuka terhadap kawalan
Malaysia juga mencatatkan 65% sokongan dalam kalangan Gen Z, menjadikannya antara tiga tertinggi di dunia dan melepasi purata global sebanyak 51%.
Dapatan ini menunjukkan generasi muda di Malaysia bukan sahaja aktif dalam dunia digital, tetapi juga semakin sedar tentang keperluan kawalan terhadap penggunaannya.
Kajian yang dijalankan pada Januari hingga Februari 2026 ini melibatkan lebih 18,000 responden daripada pelbagai lapisan umur, termasuk ibu bapa, kanak-kanak, datuk nenek dan Gen Z.
Antara negara yang terlibat ialah Argentina, Australia, Brazil, Kanada, China, Perancis, India, Jepun, Kenya, Malaysia, Nigeria, Sweden, UAE, United Kingdom dan Amerika Syarikat.
Fokus beralih kepada kesediaan digital
Secara keseluruhan, dapatan ini mencerminkan perubahan perspektif global terhadap penggunaan media sosial dalam kalangan remaja.
Perbincangan kini tidak lagi tertumpu kepada akses semata-mata, tetapi lebih kepada tahap kesediaan digital — termasuk aspek keselamatan, kematangan emosi dan keupayaan membuat keputusan dalam persekitaran dalam talian.