Malaysia berpeluang untuk melayakkan diri ke Piala Asia Futsal 2026 selepas sah akan berada dalam pot 2 bagi menghadapi pusingan kelayakan.
Piala Asia Futsal yang bakal memasuki penganjuran edisi ke-18 akan diadakan di Jakarta, Indonesia pada 14 hingga 31 Mei 2026.
Baca Juga:
- Ini Lima Langkah Utama Untuk Meningkatkan Prestasi Futsal Malaysia Di Peringkat Antarabangsa
- Media Luar Negara Puji Axiata Arena Sebagai Gelanggang Final Piala Futsal Malaysia 2024
- Mungkin Ini Cadangan Terbaik Buat Liridon Krasniqi
Ia merupakan kali kedua Indonesia dipilih menjadi tuan rumah kejohanan futsal paling berprestij di Asia itu dimana kali terakhir mereka menganjurkannya pada edisi 2002.
Berdasarkan sumber laporan Persatuan Bolasepak Thailand, Malaysia yang kini berada di ranking ke-76 dunia diletakkan dalam pot 2 bersama-sama Tajikistan (ranking ke-44), Kyrgyzstan (48), Arab Saudi (50), Australia (52), Lebanon (53), Myanmar (56) dan Korea Selatan (70).
Ini bermakna skuad kendalian Rakphol Sainetngam itu dapat mengelak daripada bertemu tujuh negara yang dilihat mampu memberikan kesukaran buat skuad negara.
Pot 3 pula diisi China (ranking ke-79), Chinese Taipei (82), Bahrain (83), Emiriah Arab Bersatu (97), Maldives (106), Timor-Leste (109), Mongolia (112) dan Macau (115).
Manakala Hong Kong (118), Brunei Darussalam (119), Nepal (120), Palestin (121), Kemboja (122) dan Bangladesh pula berada di pot 4.
Pasukan Pilihan Dalam Piala Asia Futsal
Sementara itu pasukan-pasukan hebat di Asia seperti Iran (ranking kelima), Thailand (11), Jepun (13), Uzbekistan (23), Vietnam (31), Afghanistan (33), Kuwait (40) dan Iraq (41) diletakkan di pot 1.

Kredit Foto: Futsal Thailand
Melihatkan kepada senarai pasukan dalam kesemua pot, Malaysia mempunyai peluang cerah untuk beraksi dalam Piala Futsal Asia buat kali ke-13 sekurang-kurangnya sebagai naib juara kumpulan.
Ia bagaimanapun hanyalah penilaian di atas kertas dengan memperlihatkan kepada susunan negara dalam pot tersebut, apa-apapun pemain futsal negara perlu membuktikan kemampuan sebenar mereka dalam merealisasikan impian ke Jakarta.
Kelayakan Piala Asia Futsal 2026 akan diadakan pada 16 hingga 24 September 2025 untuk memilih lapan juara kumpulan dan tujuh pasukan tangga kedua terbaik kerana satu lagi slot sudah diisi Indonesia selaku tuan rumah.
Kali terakhir Malaysia beraksi dalam saingan tersebut adalah pada edisi 2018 di Chinese Taipei.