Malaysia berpeluang untuk menjadi tuan rumah bagi temasya Sukan Komanwel 2026 selepas negeri Victoria, Australia menarik diri daripada menganjurkan kejohanan itu.

Persekutuan Sukan Komanwel (CGF) membuat tawaran kepada Malaysia sebagai pengganti dan turut diberi suntikan dana sebanyak 100 juta pound (RM602 juta) bagi melaksanakannya.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Baca Juga:

Kali terakhir Malaysia menjadi tuan rumah temasya tersebut adalah pada 1998 dan tawaran ini membuka ruang buat Malaysia untuk tampil lagi selaku tuan rumah.

Susulan daripada pelawaan rasmi CGF kepada Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan Persatuan Sukan Komanwel (CGA) Malaysia bulan lalu, MOM sudah memulakan perbincangan bersama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk mempertimbangkan tawaran berkenaan.

Menurut Presiden CGA Malaysia, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria, pihak kerajaan harus mempertimbangkan tawaran ini yang akan membina kejayaan Kuala Lumpur 1998 dan kembali meletakkan Malaysia di peta sukan dunia.

Menteri Belia dan Sukan, YB Hanah Yeoh berkata pihaknya sedang menyediakan kertas Kabinet, meliputi hasil kajian mengenai pelbagai aspek penganjuran sukan itu untuk diserahkan kepada Jemaah Menteri, bagi membuat sebarang keputusan.

Sebelum ini, Victoria dilaporkan menarik diri sebagai tuan rumah bagi edisi ke-23 itu atas alasan peningkatan kos penganjuran daripada jangkaan awal iaitu sebanyak AUD2.6 bilion (lebih kurang RM8.09 bilion) kepada AUD7 bilion (lebih kurang RM21.78 bilion).

Kerajaan Victoria juga dilaporkan bersetuju untuk membayar AUD380 juta (RM1.18 bilion) kerana melanggar kontrak, apabila tidak dapat menganjurkan temasya itu mengikut jadual bermula 17-29 Mac 2026.