Pelawak Mamat Sepah akhirnya tampil membuat permohonan maaf secara terbuka kepada Jep Sepahtu selepas mengakui dirinya menjadi punca tercetusnya kemelut antara Jep dan Shuib Sepahtu.

Menerusi satu sesi siaran langsung di media sosial, Mamat atau nama sebenarnya Mohd Noor Haji Murad mengakui tindakannya ketika berbual dalam Dol’s Podcast menjadi pencetus kepada kontroversi berkenaan.

Malah, Mamat turut bersetuju dengan gelaran ‘batu api’ yang dilemparkan netizen terhadap dirinya.

“Betul. Kalau tengok dalam video tu, sayalah batu api sebenarnya. Saya yang ‘spark’ kan cerita itu sehingga Shuib pun terikut-ikut dan terjebak sekali dalam episod Dol’s Podcast itu.

“Sebenarnya Shuib tak ada salah apa pun. Shuib tak salah malah ahli keluarga dia pun (tak bersalah). Saya yang ‘spark’ kan cerita itu,” katanya seperti dilaporkan Astro Gempak.

Susulan itu, Mamat mengambil keputusan untuk memohon maaf secara terbuka kepada Jep serta penyokong pelawak berkenaan selepas hampir tiga minggu memikirkan perkara tersebut.

Menurut Mamat, permohonan maaf itu dibuat atas kerelaan hatinya sendiri dan bukannya disebabkan desakan mana-mana pihak.

“Permohonan maaf secara terbuka ni saya buat bukan kerana desakan daripada siapa-siapa. Ini adalah daripada keikhlasan hati saya selepas tiga minggu saya berfikir,” ujarnya.

Mamat turut berharap kemelut yang berlaku dapat diselesaikan dengan cara baik dan hubungan mereka kembali pulih.

“Semoga kita boleh berdamai dengan cara yang baik dan terus menyokong Jep Sepahtu serta menyokong apa sahaja yang kami lakukan tak kiralah Jep, Shuib, Pak Ya mahupun Rahim.

“Doakanlah kita sama-sama di bawah lindungan Allah,” katanya lagi.

Dalam masa sama, Mamat meminta orang ramai menghentikan kecaman serta kiriman mesej berunsur makian terhadap dirinya dan Shuib.

Dia memahami perasaan peminat yang marah apabila artis kesayangan mereka terpalit kontroversi, namun berharap semua pihak dapat mengambil iktibar daripada apa yang berlaku.

Terdahulu, kemelut berkenaan kembali menjadi perhatian selepas Jep meluahkan rasa kecewa apabila isu persahabatan mereka dibangkitkan dalam Dol’s Podcast, termasuk perbincangan mengenai pembahagian bayaran ketika mereka bersama dalam kumpulan Sepahtu.

Shuib sebelum ini turut tampil memohon maaf kepada Jep berhubung sindiran yang dibuat dalam podcast berkenaan.