Pelakon dan pelawak veteran, Ebby Yus, berkongsi kisah menyentuh hati mengenai kebaikan pelawak Jep Sepahtu yang pernah datang melawatnya ketika dia sedang berdepan kesukaran hidup akibat masalah kesihatan.
Menerusi perkongsian tersebut, Ebby mendedahkan dia sudah lima bulan tidak dapat bekerja kerana sakit sehingga wang simpanannya habis digunakan untuk mendapatkan rawatan.
Keadaan itu menyebabkan Ebby berada dalam kesempitan kewangan, malah dia terpaksa meminta bantuan rakan-rakan untuk menampung kos perubatannya.
Dalam tempoh sukar itulah, Jep Sepahtu hadir melawatnya di rumah. Menurut Ebby, Jep kelihatan terkejut melihat keadaan fizikalnya yang semakin kurus.
Dipetik daripada Astro Gempak, Ebby Yus berkongsi: “Dia tengok saya dan berkata, ‘Ya Allah, kurusnya abang’.
“Dia cakap Sari Yanti kirim salam. Lepas itu dia tak tahan tengok saya. Dia balik cepat, dia tinggalkan saya duit,” katanya.
Bagi Ebby, tindakan Jep itu cukup meninggalkan kesan mendalam kerana dia tidak pernah mengalami perkara sedemikian sepanjang lebih 30 tahun berkecimpung dalam industri seni.
Ebby mengakui dia tidak menyangka seorang rakan seperjuangan sanggup menghulurkan bantuan kewangan ketika dirinya benar-benar memerlukan pertolongan.
Lebih menyentuh hati, individu yang membantunya itu bukanlah ahli keluarga atau seseorang yang sentiasa berada di sisinya dalam kehidupan seharian.
Sebaliknya, Ebby melihat kehadiran Jep sebagai pertolongan yang diaturkan oleh Allah ketika dia berada dalam keadaan paling sukar.
“Selama lebih tahun saya hidup dalam bidang seni ini, ia tak pernah berlaku. Tak pernah terjadi macam itu.
“Saya terpaksa minta duit daripada kawan-kawan untuk biaya perubatan saya. Mereka ini bukannya daripada keluarga saya. Dia orang ini bukannya yang berkahwin atau berkawan dengan saya hari-hari, tetapi Allah hantar dia untuk membantu saya ketika itu,” katanya.
@astrogempak GempakNews: Mulianya seorang kawan dan adik, semoga sentiasa dimewahkan dengan rezeki ❤️ Baca artikel penuh di www.gempak.com atau klik link di IG Story. Jangan lupa follow IG dan TikTok @astrogempak untuk info semasa. #Gempak #AstroGempak #viral #beritaterkini
Perkongsian Ebby itu memperlihatkan sisi kemanusiaan dalam industri hiburan, apabila keikhlasan membantu seseorang yang sedang ditimpa kesusahan menjadi sesuatu yang amat bermakna buat penerimanya.
Bagi Ebby, bantuan Jep bukan sekadar wang untuk menampung keperluan perubatan, tetapi juga satu kenangan yang tidak akan dilupakan sepanjang hidupnya.