Manchester United sebenarnya tidak mengetahui bahawa JJ Gabriel akan mengeluarkan video perpisahan kepada kelab itu sebelum ia dimuat naik di media sosial.
Menurut laporan The Times, pihak United hanya mengetahui mengenai video tersebut selepas ia diterbitkan oleh pemain berusia 16 tahun berkenaan.
Menariknya, meskipun kecewa dengan keputusan Gabriel untuk meninggalkan Old Trafford, Manchester United tetap berpegang kepada pendirian untuk tidak menghukum pemain muda itu atas apa yang mereka percaya sebagai tindakan orang dewasa di sekelilingnya.
United juga dilaporkan mahu mendapatkan peluang untuk bercakap secara langsung dengan Gabriel bagi memastikan keputusan besar yang bakal mengubah perjalanan kariernya itu benar-benar datang daripada kehendak pemain tersebut sendiri.
Kelab itu difahamkan sudah tidak dapat menghubungi keluarga Gabriel sejak September lalu, ketika pemain tersebut meminta supaya pendaftarannya bersama Manchester United dibatalkan.
Gabriel kemudian meninggalkan England bersama keluarganya dan dilaporkan menjalani latihan secara bersendirian di Barcelona.
Situasi ini semakin rumit apabila Real Madrid dikatakan sudah mencapai persetujuan secara lisan untuk mendapatkan khidmat pemain muda tersebut. Perpindahan itu dijangka dimuktamadkan pada Januari depan.
Dalam perkembangan berasingan, Manchester United turut mempertimbangkan tindakan undang-undang sekiranya mereka menemui bukti bahawa terdapat kelab lain yang menghubungi Gabriel tanpa kebenaran, sekali gus berpotensi melanggar peraturan FIFA.
Bagaimanapun, United sedar bahawa isu ini bukan sekadar mengenai pampasan kewangan. Kelab itu mahu memastikan peraturan perpindahan pemain muda dipatuhi.
Gabriel menyertai Manchester United pada 2020 ketika berusia 10 tahun. Dia kemudian mencipta sejarah sebagai penerima termuda anugerah Jimmy Murphy, iaitu anugerah pemain muda terbaik kelab tersebut.
Dia kini dijangka meneruskan perjalanan kariernya bersama Real Madrid selepas enam tahun bersama akademi Manchester United.