Kelab English Premier League (EPL), Manchester City mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung pertuduhan yang dikenakan terhadap The Cityzens.
Hal ini kerana satu Suruhanjaya bebas mendapati Manchester City bersalah atas kesemua pertuduhan berkaitan pelanggaran serius peraturan kewangan dalam EPL sepanjang tempoh sembilan musim, serta majoriti pertuduhan berhubung kegagalan kelab itu memberikan kerjasama dalam siasatan yang dijalankan oleh liga berkenaan.
Suruhanjaya bebas itu mendapati bahawa antara musim 2009/10 hingga 2017/18, kelab tersebut telah mengatur kontrak ‘palsu’ yang tidak menggambarkan persetujuan sebenar antara pihak terlibat dengan beberapa rakan kongsi komersialnya, selain bergantung pada perjanjian seumpama itu dengan pihak lain bagi meningkatkan hasil pendapatan kelab secara buatan dan mengurangkan kos operasi.
Kelab itu turut didapati mengemukakan penyata kewangan yang mengandungi maklumat tidak tepat serta menyembunyikan kedudukan sebenar kewangannya daripada juruaudit dan badan kawal selia bola sepak.
Selain itu, Manchester City didapati melakukan pelanggaran serius terhadap had perbelanjaan yang ditetapkan oleh Liga Perdana Inggeris dan Kesatuan Persatuan Bola Sepak Eropah (UEFA).
Sepanjang siasatan Liga Perdana Inggeris dijalankan, Manchester City juga didapati berulang kali melanggar kewajipan untuk memberikan kerjasama dan bertindak dengan penuh kejujuran terhadap liga berkenaan, dengan tiga daripada empat dakwaan berkaitan perkara itu disahkan.
Manchester City Mengaku Tak Bersalah
“Manchester City FC berasa kecewa dan terkejut dengan pandangan Suruhanjaya Premier League (The FA) yang telah diterbitkan hari ini,” ujar City dalam satu kenyataan rasmi dikeluarkan laman sesawang kelab.
“Kelab ini tidak bersalah atas tuduhan yang dikemukakan oleh Premier League dan terdapat bukti menyeluruh yang tidak dapat disangkal bagi menyokong semua pendirian kami berhubung kes ini.”
“Oleh itu, Manchester City akan terus berjuang tanpa mengenal penat lelah dan, jika perlu, mengambil tindakan proaktif melalui semua saluran kawal selia serta perundangan yang sewajarnya.”
“Proses yang dijalankan oleh Premier League masih berlangsung, dengan beberapa perkara penting masih belum diselesaikan.”
“Manchester City kini akan meneruskan proses rayuan yang tersedia berdasarkan pendirian bahawa keputusan tersebut mengandungi kesilapan material yang jelas dari segi undang-undang, prinsip dan fakta, sekali gus menjadikannya tidak selamat untuk dijadikan sandaran.”
“Kelab ini telah mematuhi proses sewajarnya dengan penuh teliti selama lapan tahun, berlandaskan kepercayaan bahawa Lembaga Pengarah dan pihak pengurusan Premier League akan bertindak sebagai badan kawal selia yang bebas, tidak berat sebelah dan adil, tanpa dipengaruhi kepentingan mana-mana pihak.”
“Jelas sekali, Manchester City terikat dengan batasan untuk memberikan sebarang komen lanjut sehingga semua prosiding yang akan datang selesai.”