Penyokong Manchester United kini mempunyai peluang yang cukup istimewa untuk memiliki sebahagian daripada sejarah Old Trafford pada harga £135 (kira-kira RM728).

Selepas kerja-kerja penggantian besar-besaran permukaan padang yang disiapkan pada Jun lalu, kelab itu kini secara rasmi menjual sebahagian rumput bersejarah tersebut yang telah diawet dan diletakkan di dalam kiub kaca.

United secara rasmi menawarkan peluang yang jarang diperoleh kepada penyokong setia mereka untuk memiliki sebahagian daripada Old Trafford.

Manchester United Jual Rumput Old Trafford Berharga RM728, Habis Terjual Hanya Dalam Tempoh 16 Jam
Kredit Foto: Oli SCARFF / AFP

Rumput Old Trafford Jadi Buruan

Dengan harga £135, peminat boleh membeli cebisan sebenar permukaan padang ikonik kelab itu yang telah diawet dengan sempurna dan diletakkan di dalam kiub kaca.

Inisiatif yang baru diumumkan ini memberikan peluang unik kepada peminat untuk memiliki sebahagian daripada sejarah bola sepak.

Stadium keramat itu telah menjadi saksi kepada pelbagai detik ikonik sepanjang tahun dan kini, sebahagian daripada permukaan padang tersebut secara rasmi ditawarkan untuk dijual kepada orang ramai.

Keputusan untuk menjual permukaan padang bersejarah itu dibuat selepas kerja-kerja pengubahsuaian besar-besaran terhadap padang Old Trafford. Menurut kenyataan di laman sesawang rasmi Manchester United, permukaan padang ikonik itu dikorek sepenuhnya dan dibuang hingga ke bahagian asas pada Jun lalu.

Kerja-kerja tanah yang begitu menyeluruh itu dilakukan buat kali pertama dalam tempoh 14 tahun. Manchester United mengesahkan menerusi laman web rasmi kelab bahawa kerja-kerja pengorekan tersebut diselesaikan oleh penjaga padang kelab, Tony Sinclair.

Proses itu dilakukan bagi membolehkan permukaan padang ditanam semula dengan tujuan untuk ‘meningkatkan kebajikan pemain dan sistem saliran air’.

Manchester United Jual Rumput Old Trafford Berharga RM728, Habis Terjual Hanya Dalam Tempoh 16 Jam
Kredit Foto: United Store

Daripada membuang begitu sahaja rumput lama berkenaan, sebahagiannya dipelihara dengan teliti dan diletakkan di dalam kiub kaca untuk dikumpulkan oleh para penyokong.

Menariknya, selepas 16 jam ditawarkan untuk jualan, kesemua rumput tersebut telah habis terjual menerusi kedai barangan rasmi Manchester United iaitu United Store.

Penyokong yang masih berminat perlu menantikan kemas kini seterusnya daripada kelab sekiranya pihak Manchester United memutuskan untuk menawarkan semula produk berkenaan atau melakukan restock pada masa akan datang.