Dengan kewangan yang semakin meruncing, pengurusan tertinggi Manchester United dikatakan akan memecat kira-kira 200 orang pegawai sebagai langkah penjimatan.
Sejak membeli pegangan saham dalam kelab tersebut pada penghujung 2023, INEOS yang dikendalikan oleh Sir Jim Ratcliffe telah membuat beberapa keputusan boleh dianggap sebagai kontroversi.
Baca Juga:
- Gaji Pengurus Dan Pemain Manchester United Dipotong
- Ruben Amorim: Memang Memalukan Jadi Pengurus Manchester United Yang Alami Banyak Kekalahan
- Manchester United Telan Kekalahan Kesebelas
Ia melibatkan penamatan tugas Sir Alex Ferguson selaku duta global Manchester United serta telah memberhentikan khidmat 250 orang kakitangan.
Menurut sumber laporan Goal, United telah mencatat kerugian sekitar £300 juta sepanjang tiga tahun lalu dan pemimpin kelab berharap untuk memperbaiki keadaan kewangan mereka dengan membuat lebih banyak pemotongan.
Sehubungan dengan masalah kewangan tersebut, Ratcliffe tanpa berselindung mengakui bahawa banyak lagi keputusan yang tidak popular akan dilakukannya.
Beliau melihat pemecatan 100 hingga 200 orang kakitangan akan menjimatkan sekitar £45 juta yang boleh dilaburkan semula ke dalam pasukan utama Ruben Amorim apabila kelab sedang berusaha untuk kembali ke puncak bola sepak Inggeris dan Eropah.
INEOS sedang mempertimbangkan untuk melakukan perkara tersebut dan keputusan akhir dijangka akan dibuat dalam tempoh dua minggu akan datang.
Dalam perkembangan sama, Ratcliffe percaya langkah drastik ini adalah satu keperluan untuk mengelakkan kelab daripada terus mengalami kerugian.
Pengurangan kakitangan mungkin penting untuk menjadikan kelab tersebut kompetitif dan menguntungkan dalam tempoh dua tahun akan datang.
Selain itu, kelab tersebut juga sedang mempertimbangkan untuk menutup pejabat mereka di London, tetapi mereka masih akan menjalankan operasi di ibu kota Inggeris itu bagi membolehkan mereka terus menjalankan perniagaan dengan rakan global.