Ketua jurulatih skuad kebangsaan Uruguay, Marcelo Bielsa menganggap bola sepak moden sudah hilang seri dan tidak lagi indah seperti sebelum ini.
Bielsa bercakap demikian selepas pasukannya menewaskan Brazil dalam aksi peringkat suku akhir Copa America 2024 sekaligus layak ke separuh akhir dimana mereka bakal bertemu Colombia.

Baca Juga:
- Copa America 2024: Messi Gagal Sempurnakan Penalti, Argentina Tetap Ke Separuh Akhir
- ‘Lebih Mudah Menang Copa America Berbanding UEFA Euro’
- Media Antarabangsa Pandang Rendah Piala Asia 2023, Dakwa Copa America Lebih Popular
Bagi jurulatih berusia 68 tahun itu, bola sepak sekarang sudah berbeza dimana sukan ini hanya pentingkan jumlah penonton dan juga wang berbanding bola sepak itu sendiri.
“Semakin ramai yang menyaksikan bola sepak tetapi sukan ini semakin hilang serinya. Apa yang membuatkan bola sepak sebagai sukan terbaik di dunia, tidak diutamakan dan lama-kelamaan ia akan semakin hambar.
“Tidak kira berapa ramai orang menonton bola sepak, jika anda tidak memastikan apa yang orang tonton adalah sesuatu yang menyenangkan, ia hanya akan memberi manfaat kepada perniagaan. Kerana perniagaan hanya mengambil berat tentang berapa ramai orang yang menontonnya.
“Tetapi dalam beberapa tahun, pemain yang layak ditonton akan menjadi kurang, dan permainan yang dihasilkan menjadi kurang menyeronokkan, pertambahan penonton palsu ini akan berakhir.
“Bola sepak bukan hanya sorotan video perlawanan selama lima minit. Bola sepak adalah lebih daripada itu, ia adalah ekspresi budaya, cara untuk seluruh dunia mengenali siapa kita.
“Saya fikir kita harus mengabaikan senario yang mereka cadangkan kepada kita, di mana kontroversi, tuduhan, penentuan siapa yang bersalah menjadi obsesi yang memburukkan suasana bola sepak harus diutamakan.
Dalam masa yang sama, Marcelo Bielsa turut menganggap bola sepak kini menjadi sukan yang mahal dan mereka yang kurang mampu tidak boleh menikmati bola sepak.
“Bola sepak adalah untuk semua. Orang miskin yang tidak mempunyai wang untuk membeli perkara yang menggembirakan mereka mempunyai bola sepak, itu percuma bagi mereka. Tetapi kini mereka tidak memilikinya lagi,” tambahnya.
Tiket yang semakin mahal, harga jersi yang melambung tinggi dan siaran langsung yang sukar untuk didapati menjadi salah satu faktor mengapa Bielsa berkata demikian mengenak bola sepak moden.