Media antarabangsa memandang rendah kualiti dan prestij temasya Piala Asia 2023 dan mendakwa kejohanan di rantau lain lebih popular.
Salah sebuah media iaitu Out Of Context Football memuat naik gambar di laman media sosial X yang seolah-olah memandang rendah temasya Piala Asia 2023 dan mereka mendakwa kejohanan seperti Copa America 2024, UEFA EURO 2024 dan African Cup Of Nations 2023 lebih popular.
— Out Of Context Football (@nocontextfooty) January 6, 2024
Komuniti bola sepak Asia tidak tinggal diam dimana ada yang menyatakan bahawa Piala Asia jauh lebih sukar berbanding Copa America kerana pasukan perlu mengharungi peringkat kelayakan yang panjang hanya untuk menjadi sebahagian daripada temasya tersebut.
Berbeza dengan Copa America, pasukan bertanding tidak perlu mengharungi pusingan kelayakan dimana 10 pasukan yang menjadi ahli South American Football Confederation (CONMEBOL) layak untuk bertanding selain ada kuota untuk pasukan jemputan yang pernah diisi oleh pasukan dari Asia dan juga Confederation of North, Central America and Caribbean Association Football (CONCACAF).
Tidak cukup dengan itu, ada peminat yang menyenaraikan kejutan yang dicipta oleh pasukan dari Asia dengan menewaskan pasukan gergasi dalam temasya Piala Dunia sebelum ini.
Antara yang disebut ialah ketika Arab Saudi menewaskan Argentina dengan keputusan 2-1 ketika perlawanan peringkat kumpulan Piala Dunia 2022 di Qatar, pasukan Jepun yang menewaskan dua bekas juara iaitu Sepanyol dan Jerman di temasya sama selain Korea Selatan yang berjaya menewaskan Portugal.
Apa yang pasti, temasya Piala Asia tidak boleh dipandang sebelah mata kerana kualiti pasukan yang bertambah dalam setiap edisi dan juga ada pemain bertaraf dunia yang beraksi di liga ternama Eropah turut mengambil bahagian.