Marcus Rashford seolah-olah sudah pasrah dengan sebarang kemungkinan melibatkan masa depannya bersama Manchester United.
Pemain berusia 27 tahun itu diketepikan oleh Ruben Amorim dalam skuad Manchester United ketika menundukkan Manchester City di Etihad Stadium tempoh hari.
Baca Juga:
- Rashford Sasar EPL Dan UCL Bersama United
- Gaji Pengurus Dan Pemain Manchester United Dipotong
- Man Utd Sedia Lepaskan Antony, Beri ‘Diskaun 50 Peratus’
Seorang lagi pemain yang menerima nasib yang sama dengan Rashford ialah Alejandro Garnacho.
Ekoran keputusan diambil Amorim itu, terdapat pelbagai spekulasi yang memperkatakan tentang masa depan Rashford di Old Trafford dan Manchester United juga dikatakan bersedia untuk melepakan pemain tersebut.
Sehubungan dengan perkara tersebut, pemain yang boleh Beraksi di posisi penyerang dan sayap itu seperti berlapang dada dengan nasibnya.
“Saya rasa saya bersedia untuk cabaran baru dan langkah seterusnya,” ujar Rashford menurut sumber laporan The Guardian.
“Jika saya tahu keadaan sudah buruk, saya tidak akan menjadikannya lebih teruk. Saya telah melihat bagaimana pemain lain meninggalkan kelab ini sebelum ini dan saya tidak mahu menjadi seperti orang itu.”
“Apabila saya meninggalkan kelab ini, saya akan membuat kenyataan dan ia akan datang dari saya.”
Pemain yang sudah menjaringkan 138 gol dan mencipta 53 bantuan jaringan buat Manchester United itu telah mengalami kesukaran untuk mendapatkan prestasi terbaiknya sepanjang dua musim lalu.
Ruben Amorim serta pihak atasan United bersedia untuk melepaskan Rashford pada Januari ini. The Red Devils dikatakan sanggup mendengar tawaran untuk penyerang tersebut tetapi gaji mingguan sebanyak £365,000 mungkin menyukarkan untuk mencari kelab yang mampu menanggungnya.
Marcus Rashford mungkin perlu menerima nilai yang lebih rendah untuk mempermudahkan urusan perpindahannya.