Bekas ketua pasukan skuad kebangsaan Australia, Mark Milligan bakal menyertai staf kejurulatihan skuad Harimau Malaya dibawah bimbingan ketua jurulatih baharu iaitu Peter Cklamovski.

Perkara ini dikongsikan oleh bekas pemain Selangor iaitu Robert Cornthwaite menerusi laman media sosial rasmi beliau dimana Milligan bakal memegang peranan sebagai pembantu kepada Peter.

Baca Juga:

Milligan mempunyai pengalaman luas beraksi di pentas Asia dan juga Eropah dimana beliau pernah menyarung jersi beberapa kelab ternama di Australia seperti Sydney FC, Newcastle Jets dan Melbourne Victory.

Selain itu, jurulatih berusia 39 tahun ini pernah beraksi di Jepun bersama JEF United Chiba selain berkelana di Emiriah Arab Bersatu (UAE), Baniyas dan Arab Saudi iaitu Al-Ahli.

Di Eropah, Mark Milligan pernah beraksi bersama kelab Liga Premier Scotland iaitu Hibernian dan kelab divisyen empat England iaitu Southend FC.

Selepas bersara dari dunia bola sepak profesional, Milligan pernah memegang peranan sebagai pembantu jurulatih di dua pasukan iaitu Macarthur dan Adelaide United.

Selain kehadiran Milligan, seorang lagi pembantu akan diisi oleh jurulatih tempatan dimana bekas pemain skuad kebangsaan iaitu Hairuddin Omar menjadi salah satu calon utama bagi mengisi posisi tersebut.

Revolusi skuad Harimau Malaya menyaksikan Nafuzi Zain dilantik sebagai pengendali skuad B-23 kebangsaan yang berperanan sebagai pembekal bakat-bakat muda untuk dinaikkan ke skuad senior kebangsaan.

Kredibiliti Nafuzi yang kini berusia 46 tahun juga ditagih dalam usaha memperkasakan semula skuad B-23 kebangsaan yang kebelakangan ini kelihatan kurang menyinar di pentas antarabangsa.

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), mengumumkan Robert Douglas Friend atau lebih dikenali dengan panggilan Rob Friend dari Kanada sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) skuad Harimau Malaya manakala Dr. Craig Duncan dari Australia sebagai Ketua Prestasi Tinggi & Perubatan Sukan Pasukan Kebangsaan.