Pengurus Portugal, Roberto Martinez, menanggapi soalan tentang dakwaan bahawa beliau tidak berani untuk mengeluarkan Cristiano Ronaldo walaupun penyerang veteran itu gagal memberikan impak besar ketika Portugal seri 1-1 dengan DR Congo dalam aksi pembukaan Kumpulan K Piala Dunia 2026.
Martinez mempertahankan taktikalnya dengan terus mengekalkan Cristiano Ronaldo.
Ronaldo, yang mencipta sejarah sebagai pemain luar padang tertua pernah memulakan perlawanan Piala Dunia pada usia 41 tahun, berdepan kawalan ketat sepanjang perlawanan dan gagal menemui jaringan. Namun Martinez tetap mempertahankan kaptennya itu.
Menurut Martinez, Ronaldo masih mempunyai peranan penting dalam pasukan dan kehadirannya sentiasa memberi ancaman kepada pertahanan lawan. Beliau menegaskan bahawa prestasi seorang pemain tidak boleh dinilai hanya berdasarkan sama ada dia menjaringkan gol atau tidak dalam satu perlawanan.
Portugal bermula cemerlang apabila João Neves meletakkan mereka di depan seawal minit keenam hasil hantaran Pedro Neto. Namun, pasukan Eropah itu gagal menambah gol walaupun menguasai sebahagian besar permainan. DR Congo kemudian menyamakan kedudukan menerusi Yoane Wissa sebelum tamat babak pertama, sekali gus menghadiahkan negara Afrika itu mata bersejarah dalam penampilan pertama mereka di Piala Dunia selepas 52 tahun.
Martinez mempertahankan Cristiano Ronaldo yang beraksi 90 minit dalam perlawananan ini. Kerana menurutnya, adalah tidak masuk akal untuk mengeluarkan penjaring terhebat sepanjang zaman ketika pasukan perlukan gol.
Martinez berkata: “Ianya satu tindakan yang tidak masuk akal untuk mengeluarkan Cristiano Ronaldo yang merupakan penjaring gol terbaik dalam bola sepak dunia. Jika anda memerlukan gol, tidak masuk akal untuk mengeluarkannya.”
Martinez mengakui Portugal kehilangan intensiti selepas gol pembukaan dan tidak mencipta peluang yang mencukupi untuk membunuh perlawanan. Beliau percaya pasukannya perlu belajar daripada keputusan itu dan mengalihkan fokus kepada aksi seterusnya menentang Uzbekistan.
Keputusan seri itu bermakna saingan Kumpulan K kini terbuka luas dengan Portugal, DR Congo, Uzbekistan dan Colombia masih mempunyai peluang sama rata untuk memburu tempat ke pusingan seterusnya.