Masa depan Tan Cheng Hoe menjadi tanda tanya selepas bekas ketua jurulatih skuad kebangsaan itu gagal untuk menyelamatkan Police Tero dari tersingkir ke saingan divisyen dua Liga Thailand musim hadapan.
Meskipun berjaya menewaskan Bangkok United pada perlawanan terakhir liga, namun itu tidak cukup untuk memastikan Police kekal di saingan Thai League 1 musim hadapan dimana mereka hanya mengutip 28 mata daripada 29 perlawanan dan menduduki tangga ke-14 dalam carta liga.
Baca Juga:
- Tan Cheng Hoe Nafi Police Tero Sekadar Tempat ‘Transit’
- Berhijrah Ke Thailand Bagai Mimpi Jadi Kenyataan Bagi Tan Cheng Hoe
- Media Thailand Hairan Mengapa Tan Cheng Hoe Pilih Police Tero
Selepas tersingkir, pihak pengurusan kelab belum memutuskan sama ada mereka mahu terus menggunakan khidmat bekas pengendali Selangor itu ataupun melantik ketua jurulatih lain.
Cheng Hoe sendiri menyuarakan beliau mahu kekal di Thailand meskipun Police bakal beraksi di saingan divisyen dua kerana ini merupakan pengalaman pertama beliau menguruskan kelab di luar Malaysia.
Sekiranya khidmatnya tidak disambung, maka berkemungkinan besar beliau bakal kembali ke Malaysia dan menjadi ketua jurulatih bagi kelab yang bersaing di Liga Malaysia.
Ketika ini saingan Liga Super sudah memasuki dua minggu perlawanan dan masih terlalu awal untuk mana-mana pasukan merehatkan atau memecat ketua jurulatih mereka.
Sebelum ini, Tan Cheng Hoe menafikan dakwaan pelbagai pihak yang menyifatkan pasukan Police Tero sekadar tempat ‘transit’ sebelum kembali semula ke Liga Malaysia.
Penghijrahan Cheng Hoe ke Thailand itu menjadi persoalan dalam kalangan peminat bola sepak tempatan kerana ia berlaku secara tiba-tiba selepas membantu Selangor meraih gelaran naib juara Liga Super musim 2023.
“Segala khabar angin tidak benar. Ini bukan ‘transit’.
“Ia adalah keputusan yang sangat sukar kerana RMS (Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah), pemain serta barisan jurulatih Selangor memberi sokongan dan saya mengharungi musim 2023 yang hebat.
“Tawaran Polis Tero datang secara tiba-tiba. Pastinya mencabar buat saya, tetapi memang sentiasa menjadi impian saya untuk bekerja di luar negara.
“Dengan restu RMS, saya menyertai Polis Tero. Saya harap ini juga akan membuka pintu kepada lebih ramai jurulatih Malaysia (untuk bekerja di luar negara),” kata Cheng Hoe dipetik dalam NST.