Legenda Bayern Munich, Lothar Matthaus menasihati pemain pertahanan, Jonathan Tah supaya melupakan tawaran kelab Bavaria itu dan terus kekal bersama Bayer Leverkusen.

Matthaus berpendapat sedemikian selepas Bayern Munich yang kini dibimbing Vincent Kompany dikatakan berminat untuk mendapatkan khidmat pemain berusia 28 tahun itu.

Baca Juga:

Malah, Tah juga dilaporkan menolak untuk memperbaharui kontraknya bersama juara Bundesliga 2023/24 itu.

Sehubungan dengan itu, Matthaus berpendapat bahawa Tah perlu memikirkan tentang banyak perkara dan menolak tawaran daripada Bayern Munich.

“Sekiranya anda benar-benar mahukan Jonathan Tah, anda perlu membayar £21 juta untuk mendapatkannya,” ujar Matthaus menurut sumber laporan Goal.

“Ini adalah permainan poker, itu sebahagian daripadanya tetapi jika saya menjadi Tah, saya akan bertanya kepada diri sendiri, ‘Mengapa mereka membeli pemain lain dengan jumlah keseluruhan €125 juta dan bukan saya, walaupun mereka mahukan khidmat saya?”

“Tah, dalam prestasi yang dia tampilkan ketika Leverkusen muncul juara liga, ia menjadi nilai tambah buatnya. Tetapi tidak diketahui sama ada dia akan dijamin tempat kesebelasan utama di Munich.”

“Dia juga kelihatan tidak begitu selesa dengan corak permainan bek berempat yang akan digunakan oleh Munich. Pada kejohanan Euro, permainannya sedikit goyah dengan sistem ini, tetapi di Leverkusen dia lebih stabil.”

“Terdapat juga persoalan sama ada dia akan mendapat sokongan yang sama di Munich daripada semua orang sepertimana dia miliki ketika di Leverkusen daripada Xabi Alonso, Simon Rolfes dan Fernando Carro.”

“Tah perlu memikirkan sama ada dia mahu meninggalkan kelab yang mana dia telah membina sesuatu yang sangat besar, berkembang dengan baik dan matang sebagai seorang individu,” tambah Matthaus lagi.