Kawasaki Frontale vs JDT, 28. 11. 2023 – jam 6.00 petang (Waktu Malaysia)

Pemain pertahanan kanan Johor Darul Ta’zim (JDT), Matthew Davies mengakui tugas sukar sedang menanti pasukannya apabila bakal bertemu Kawasaki Frontale pada aksi Kumpulan I saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Stadium Todokori, hari ini.

Baca Juga:

Beliau turut menyifatkan jaguh dari Jepun itu memiliki kelebihan berbanding pasukannya kerana mendapat perlawanan intensiti tinggi dalam saingan Liga 1 Jepun (Liga J1) setiap minggu.

“Ianya sedikit sukar buat kami kerana tahap Liga Malaysia (Liga M) tidak sama dengan Liga Juara-Juara AFC. Kami tidak mempunyai perlawanan intensiti tinggi setiap minggu berbanding Kawasaki yang mempunyai kelebihan bermain di Liga J1.

“Itu sedikit menyukarkan kami untuk menukar ‘mode’ dari Liga M ke saingan ACL tetapi kami yakin kami mempunyai kualiti untuk bersaing seperti yang kami tunjukkan sebelum ini,” jelasnya.

Bagaimanapun, Davies menegaskan pasukannya sudah bersedia menghadapi Kawasaki Frontale dan menganggap ia seperti perlawanan akhir.

“Kami gembira dan tidak sabar untuk beraksi esok kerana ini adalah kali keempat kami bertemu Kawasaki dalam dua tahun dan seakan sudah mengetahui mengenai mereka dengan baik.

“Semua tahu mereka adalah lawan yang kuat dan kami tidak akan mengambil mudah kerana tahu ia satu perlawanan yang sukar dan seperti yang dikatakan jurulatih, ia aksi yang penting ibarat perlawanan akhir.

“Namun begitu, kami hadir ke sini untuk berikan segalanya dan cuba membawa balik keputusan positif dari sini,” katanya pada sidang media.

Berdasarkan kedudukan terkini kumpulan I, Kawasaki Frontale menghuni tangga teratas dengan 12 mata dengan rekod tanpa kalah manakala JDT di tangga ketiga selepas mengutip 6 mata dalam 4 perlawanan yang diharungi.

Skuad kendalian Tatsu Oniki itu hanya memerlukan keputusan seri untuk muncul sebagai juara kumpulan manakala JDT amat memerlukan kemenangan bagi mencerahkan peluang mara ke pusingan seterusnya.