Kylian Mbappe mengakui Perancis gagal mengawal emosi pada separuh masa pertama sehingga menyaksikan mereka tersingkir daripada Piala Dunia 2026, namun beliau tetap mempertahankan maruah pasukan dan jurulatih Didier Deschamps.
Penyerang berusia 27 tahun itu menyifatkan Perancis tampil dengan dua wajah berbeza sepanjang perlawanan. Menurutnya, aksi longlai pada babak pertama bukanlah kerana mereka tidak menghormati jersi kebangsaan, sebaliknya mereka hilang fokus pada saat yang tidak sepatutnya.
“Pada separuh masa pertama, saya faham kenapa ada orang fikir kami seperti tidak menghormati jersi kebangsaan. Tetapi bagi saya, kami cuma menjadi manusia biasa, dan malangnya pada tahap ini kami tidak mampu untuk menjadi manusia biasa,” kata Mbappe.
Beliau berkata Perancis kembali menunjukkan mentaliti sebenar selepas rehat apabila bangkit memenangi separuh masa kedua, namun ia tetap tidak mencukupi untuk mengubah keputusan perlawanan.
“Pada separuh masa kedua, kami kembali menjadi pemain elit, seperti mesin yang diprogramkan secara mental tanpa emosi. Tetapi akhirnya kami tetap tidak memenangi perlawanan,” jelasnya.
Mbappe turut meluahkan rasa kecewa kerana gagal menghadiahkan kemenangan buat Deschamps dalam apa yang mungkin menjadi penampilan terakhir jurulatih legenda itu di pentas Piala Dunia.
“Kami mahu menghadiahkan sesuatu untuk beliau. Perlawanan ini sama sekali tidak akan mencemarkan status legenda Didier Deschamps,” tambahnya.
Dalam perlawanan itu, Mbappe turut mencipta sejarah apabila muncul sebagai penjaring terbanyak sepanjang zaman Piala Dunia. Namun, beliau mengakui rekod individu tersebut langsung tidak mampu mengubat kekecewaan kerana Perancis gagal mara ke final.
“Saya lebih rela tidak menjadi penjaring terbanyak sepanjang zaman jika itu bermakna saya dapat bermain dalam perlawanan akhir esok.”
Mbappe turut berseloroh mengenai Lionel Messi yang bakal beraksi di final menentang Sepanyol, sambil menyifatkan bintang Argentina itu hampir pasti akan menambah koleksi jaringannya.
“Saya pernah cakap sebelum ini, Leo sentiasa menjaringkan gol, dan saya yakin esok dia juga akan menjaringkan gol.”
Walaupun bangga dengan rekod yang dicipta, Mbappe menegaskan legasi peribadi bukanlah perkara yang bermain di fikirannya ketika ini kerana impiannya hanyalah untuk membawa Perancis ke pentas final.
“Rekod ini baik untuk legasi saya apabila saya bersara nanti. Tetapi hari ini, itu bukan perkara pertama yang bermain dalam fikiran saya.”