Kylian Mbappe menegaskan tiada persaingan peribadi dengan Lionel Messi walaupun kedua-duanya terus mendaki carta penjaring Piala Dunia 2026.
Kapten Perancis itu menjaringkan dua gol dalam kemenangan 3-0 ke atas Iraq untuk menyamai jumlah jaringan Miroslav Klose dengan 16 gol Piala Dunia.
Malah ia juga turut memintas legenda Brazil, Ronaldo dalam kedudukan sepanjang masa penjaring terbanyak kejohanan tersebut.
Susulan kemenangan selesa itu, Perancis turut mengesahkan tempat ke pusingan kalah mati dengan kemenangan kedua berturut-turut.
Walaupun terdapat gangguan yang agak lama akibat gangguan faktor cuaca, Les Bleus masih mengekalkan momentum positif selepas permainan disambung semula dan melengkapkan kemenangan dengan satu lagi gol daripada Ousmane Dembele.
Dengan perhatian tertumpu kepada perebutan antara Mbappe dan Messi dalam carta penjaring Piala Dunia, penyerang Perancis itu menolak dakwaan wujudnya persaingan peribadi dengan bekas rakan sepasukannya di Paris Saint-Germain itu.
Mbappe Lebih Fokus Pasukan Sendiri
“Tiada isu [antara Mbappe dengan Messi],” kata Mbappe menurut sumber laporan Goal.
“Leo juga telah menjaringkan gol, dia menjaringkan gol dan dia akan sentiasa menjaringkan gol. Saya tidak melihat apa yang dia lakukan, jika tidak saya perlu buat lebih lagi.”
“Saya hanya fokus kepada pasukan saya. Bila anda menjaringkan gol, anda akan semakin hampir dengan tahap itu tetapi saya ulang bagi saya lebih penting untuk melihat perkembangan pasukan kami.”
Gol-gol terbaru Mbappe hadir pada penampilan ke-100 beliau bersama Perancis dan hanya menjadikannya ketinggalan dua gol di belakang jumlah 18 gol Piala Dunia milik Lionel Messi.
Peningkatan pantasnya telah mengukuhkan kedudukan beliau antara penjaring gol terhebat dalam sejarah pertandingan tersebut.