Kylian Mbappe tampil membidas senator Paraguay, Celeste Amarilla, selepas wanita itu didakwa mengeluarkan kenyataan berunsur rasis dan menghina terhadap bintang Perancis tersebut.
Kontroversi tercetus selepas Amarilla menggelarkan Mbappe sebagai “orang Cameroon yang dijajah” susulan jaringan penalti pemain itu yang membantu Perancis menyingkirkan Paraguay dan mara ke suku akhir Piala Dunia.
Mbappe kemudian membalas kritikan itu menerusi hantaran di media sosial X dengan menyifatkan tindakan Amarilla sebagai memalukan serta tidak layak memegang jawatan tersebut.
“Kamu seorang wanita yang amat memalukan dan tidak layak memegang jawatan tersebut.
“Kamu tidak mewakili Paraguay, sebuah negara yang telah berjuang dengan penuh semangat dan maruah sepanjang kejohanan ini.
“Disebabkan sikap melulu serta perkauman yang kamu tunjukkan secara terang-terangan, seluruh dunia kini sudah melupakan perjalanan dan usaha bersejarah yang dicapai oleh para pemain Paraguay di Piala Dunia ini,” tulis Mbappe.
Mbappe turut menegaskan dia tidak akan membenarkan individu seperti Amarilla bebas menyebarkan kebencian dan perkauman.
“Saya tidak akan sesekali membenarkan individu seperti kamu bebas menyebarkan kebencian dan perkauman ke seluruh dunia,” tambahnya.
Madame Celeste Amarilla,
Vous êtes une femme méprisable et indigne de sa fonction.
Vous ne représentez pas le Paraguay, ce pays qui a transpiré la passion et l’honneur tout au long de la compétition. Par votre inconscience et votre racisme décomplexé, le monde entier a déjà… pic.twitter.com/EnYmgQXvPL— Kylian Mbappé (@KMbappe) July 6, 2026
Amarilla buat hantaran jelik di media sosial
Sebelum itu, Amarilla mencetuskan kontroversi menerusi beberapa hantaran di media sosial yang menyerang peribadi Mbappe selepas pemain itu menjadi watak penting dalam kemenangan Perancis.
Dalam salah satu kenyataannya, Amarilla menyifatkan Mbappe sebagai seorang yang “tidak berpelajaran” dan mendakwa pemikirannya hanya dipenuhi perkara remeh, termasuk menggunakan ungkapan menghina yang menyifatkan pemain itu sebagai “otak penuh kelapa”.
Kelapa seringkali digunakan untuk merujuk kepada hinaan berbaur rasis yang mengaitkan orang kulit hitam sebagai monyet.
Dia turut menggunakan istilah “bruto” terhadap Mbappe, satu perkataan dalam bahasa Sepanyol yang membawa konotasi menghina seseorang sebagai kasar, biadab atau tidak beradab.
Dia menulis: “Bruto ini tidak tahu sekolah. Dia ni otak penuh kelapa, sebab dahalu dia bukan minum susu ibunya, tetapi menghisap air kelapa.
“Dan benda paling berpelajaran yang pernah dia dengar pun bunyi cimpanzi. Patutnya Orlando Gill bagi jari tengah sahaja dekat dia.”

Amarilla juga mendakwa Mbappe seorang yang angkuh, sombong dan menyerang latar belakang pemain itu dengan mengaitkannya dengan asal-usul Cameroon.
“Bangsa Cameroon yang dijajah, beria-ia mahu menjadi orang Perancis.
“Manusia yang penuh kebencian, orang baru kaya, angkuh dan hodoh,” tulisnya.
Malah, dia turut mempersoalkan tindakan pemain Paraguay yang tidak bertindak terhadap Mbappe selepas tamat perlawanan, selain mendakwa kemenangan Perancis hadir kerana nasib.
“Satu satunya kekecewaan kami kepada Pemain Paraguay adalah tidak dapat melihat mereka pergi menampar Mbappe secara terbuka,” tegasnya.
Kenyataan senator itu mengundang kritikan kerana dianggap bukan sekadar mengkritik aksi di atas padang, tetapi turut menyentuh identiti, asal-usul dan latar belakang peribadi Mbappe.
FFF (FA Perancis) turut mengecam tindakan senator tersebut yang dianggap sangat memalukan dan rasis.