Legenda Manchester United, Roy Keane memberikan kritikan yang cukup keras terhadap salah laku kewangan Manchester City.
Hal ini kerana beliau mencadangkan agar para pemain kelab itu membuang semua medal yang telah dimenangi.
Kenyataan pedas tersebut dibuat susulan keputusan penting apabila Premier League (The FA) secara rasmi mendapati gergasi Etihad itu bersalah atas pelanggaran peraturan secara sistematik bagi meningkatkan pendapatan kelab.
The FA secara rasmi mendapati Manchester City bersalah kerana memanipulasi akaun kewangan kelab. Satu panel bebas yang menyelesaikan prosiding pada Disember 2024 mendapati kelab itu bersalah atas 114 daripada 115 pertuduhan yang berkaitan dengan tempoh sembilan musim. Dalam tempoh tersebut, Manchester City berjaya meraih lapan trofi utama.
Menurut kenyataan FA, kelab yang berpangkalan di Etihad itu menggunakan perjanjian ‘palsu’ dengan rakan niaga komersial bagi meningkatkan pendapatan dan mengurangkan kos operasi secara buatan.
Perjanjian berkenaan didakwa mengubah kedudukan kewangan sebenar kelab dengan anggaran nilai mencecah £900 juta.
Badan induk itu mendedahkan bahawa pihak penaja hanya membayar sebahagian daripada jumlah yang dipersetujui, manakala baki bayaran dibiayai secara rahsia oleh pemilik kelab, Abu Dhabi United Group (ADUG).
Langkah tersebut membolehkan Manchester City mengelak sekatan perbelanjaan yang ditetapkan, sekali gus memberikan mereka kelebihan dari segi persaingan yang menyalahi peraturan.
‘Nasihat’ Roy Keane Buat Pemain Manchester City
“Mereka tahu perkara itu akan menyakiti hati ramai pihak, tetapi mereka tetap melakukannya,” ujar Keane menurut sumber laporan Goal.
“Kalau saya seorang pemain, saya akan 100 peratus membuang pingat-pingat tersebut ke dalam tong sampah. Sudah tentu saya akan berbuat demikian kerana itu adalah perbuatan menipu. Mereka memenanginya di atas padang kerana penipuan sedang berlaku.”
“Saya rasa ia akan menjadi sangat sukar buat para pemain, pengurus dan kelab itu sendiri [pada ketika ini], termasuk dari segi prinsip yang mereka pegang, apabila mereka mempunyai pemilik yang sanggup menipu.”
“Sukar untuk mengekalkan tahap kecemerlangan dalam keadaan seperti itu,” tambah Keane lagi.