Melaka Titans mempamerkan aksi cemerlang untuk menjuarai STL 2025 Grand Prix Kuala Lumpur selepas menundukkan Negeri Sembilan Antlers 2-0 pada aksi final yang berlangsung di Stadium Titiwangsa sebentar tadi.
Dibarisi regu berpengalaman negara yang terdiri daripada Syahir Rosdi selaku tekong, Azlan Alias (apit kanan) dan apit kiri, Zaim Razali jelas memberikan kelebihan buat Melaka Titans untuk lebih mendominasi permainan.
Mereka bagaimanapun tidak diberikan laluan mudah pada set pertama apabila Negeri Sembilan Antlers yang dibarisi Haziq Hairul Nizam (tekong), Hafizul Hayazi Adnan (apit kanan) dan Zulefendi Sumari (apit kiri) turut tampil dengan baik dalam memberikan saingan.

Namun, pengalaman serta kualiti hebat dimiliki Melaka digunakan sebaik mungkin untuk mereka memenangi set pertama dengan jurang mata 15-12.
Kemenangan itu jelas menyemarakkan lagi semangat juang regu Melaka Titans untuk mengesahkan kejuaraan dengan 15-11.
Kejuaraan Kedua Buat Melaka Titans
Kejayaan di Grand Prix Kuala Lumpur ini merupakan gelaran kedua buat Melaka selepas menjuarai saingan di Terengganu sebelum ini.

Kemampuan hebat itu juga sekali gus menjadi satu amaran awal kepada pasukan-pasukan lain menjelang tiga lagi GP selepas rehat tiga minggu nanti.
Sementara itu dalam perkembangan lain, Selangor Pistons meraih tempat ketiga selepas berjaya menundukkan Perak Bison pada aksi penentuan tempat ke-3/4.