Kuala Lumpur Thunder tidak menghiraukan status hebat dimiliki Melaka Titans untuk menundukkan lawan tersebut 2-1 pada aksi kedua Kumpulan C Sepaktakraw League (STL) 2025 bagi Grand Prix (GP) Negeri Sembilan yang berlangsung di Stadium Arena 9, Nilai sebentar tadi.
Kejayaan manis dilakarkan Kuala Lumpur Thunder itu sekali gus menghantar Melaka Titans pulang dengan lebih awal tanpa sebarang mata pada sirkit kali ini.
Baca Juga:
- STL 2025 GP Negeri Sembilan: Tuan Rumah Cemerlang Hadiahkan Kekalahan Buat Melaka Titans

- STL 2025 GP Negeri Sembilan: Johor Tigris Ke Separuh Akhir Selepas Atasi ATM Guardians

- STL 2025 GP Negeri Sembilan: Terengganu Turtles Tidak Berdepan Masalah Atasi Bomba Fighters

Ia berikutan kekalahan 0-2 yang dialami skuad himpunan bintang tersebut ke atas tuan rumah, Negeri Sembilan Antlers malam tadi.

Malah kemenangan itu turut menebus kekalahan Kuala Lumpur Thunder ke atas lawan yang sama pada aksi separuh akhir GP Terengganu tempoh hari.
Petang Yang Hebat Buat Kuala Lumpur Thunder
Kuala Lumpur Thunder yang diperkuatkan dengan kehadiran Muhammad Zarif Merican Ibrahim Merican selaku tekong, Aekkasit Naphom (apit kanan) dan Amirul Zazwan Amir (apit kiri) bagaimanapun tersentak pada set pertama.
Hal ini kerana regu tersebut kelihatan cukup bergelut untuk menyaingi Melaka Titans yang dibarisi Mohammad Syahir Mohd Rosdi (tekong), Mohamad Azlan Alias (apit kanan) dan apit kiri, Muhammad Zaim Razali.
Melaka Titans tampil dengan cukup bersemangat untuk mudah memenangi set pertama 15-6 tanpa perlu bersusah-payah.
Skrip sama seperti perlawanan malam tadi berulang buat Syahir Rosdi apabila servisnya sering kali tersangkut di jaring pada set kedua.
Kesempatan itu digunakan sepenuhnya Kuala Lumpur untuk menang set kedua dengan kedudukan 15-12 bagi mengheret aksi ke set penentuan.

Melaka Titans pada mulanya kelihatan garang dengan mendahului 6-3 tetapi kelebihan itu dipadamkan Kuala Lumpur Thunder untuk mengikat kembali kedudukan 6-6.
Momentum positif itu diteruskan anak buah Rosli Ab Rahman yang cemerlang mengutip tujuh mata berturut-turut sekali gus mengesahkan kemenangan dengan 15-7.
Kuala Lumpur Thunder perlu menewaskan Negeri Sembilan Antlers pada malam esok untuk memastikan tempat di separuh akhir.