Pertembungan impian bakal dapat disaksikan pada aksi final STL 2026 GP Melaka apabila tuan rumah, Melaka Titans bakal bertemu Perak Bison, malam ini.

Aksi melibatkan kedua-dua pasukan itu sememangnya dinantikan kerana sekali lagi peminat akan dapat melihat perseteruan antara Syahir Rosdi (Melaka Titans) dan Pornthep Tinbangbon (Perak Bison).

Separuh Akhir

Perak Bison terlebih dahulu mengesahkan kemaraan ke final selepas tidak terlalu berdepan masalah untuk menundukkan PDRM Defenders dengan kemenangan ‘straight set’.

Bergandingan bersama Nazrein Daniel Kamal Mustafa (apit kanan) dan Amirul Zazwan Amir (apit kiri), Pornthep seperti kebiasaan mempamerkan variasi servis menarik untuk memberikan kesukaran buat PDRM Defenders.

Kesempatan itu digunakan sepenuhnya Perak Bison untuk mengesahkan kemaraan dengan kemenangan 15-7, 15-10.

Ia merupakan aksi final kedua berturut-turut buat Perak Bison yang sebelum ini muncul juara di GP Pulau Pinang.

Final Impian GP Melaka

Sementara itu Melaka Titans menyerap tekanan hebat dijelmakan Selangor Pistons dalam aksi yang berlanjutan hingga ke ‘tie-break’.

STL 2026

Dibarisi Syahir Rosdi, Azlan Alias dan Zaim Razali, Melaka Titans menang mudah pada set pertama 15-5. Namun, Selangor Pistons bangkit untuk meraih kemenangan 15-11.

Aksi lebih mendebarkan pada set ketiga yang akhirnya menyaksikan Melaka Titans mengesahkan kemaraan ke pentas dengan kemenangan 15-13.