Menjadi kewajiban bagi setiap individu yang menetap di sesebuah negara mempunyai kemahiran dalam bahasa ibundanya. Namun, ada segelintir individu merasa istimewa untuk tidak mengendahkan atau mempelajari bahasa Kebangsaan masing-masing.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata sudah menjadi tanggungjawab setiap warganegara Malaysia untuk fasih berbahasa Melayu.

Baca Juga:

Saifuddin mempertahankan Jabatan Imigresen berhubung insiden tular melibatkan pegawai jabatan itu di Johor yang didakwa mempersoalkan seorang wanita tidak fasih bahasa Melayu ketika ingin memperbaharui pasport di UTC Johor.

Hal ini selepas wanita berkenaan baru-baru ini berkongsi di media sosial pengalamannya memperbaharui pasport pada bulan lepas.

Katanya, pihak berkuasa mempunyai sebab untuk curiga sekiranya seseorang warganegara itu tidak memahami bahasa kebangsaan.

“Kalau insiden seperti itu berlaku, saya harap ibu bapa berkenaan boleh memahami sebagai kewajipan warganegara adalah mempelajari dan menguasai bahasa dengan baik.

“Tak perlu jadikan isu sampai nak digambarkan sebuah jabatan agensi kerajaan mempersulitkan urusan untuk membaharui dokumen perjalanan hanya kerana syarat pas.

“Jangan tengok kat situ saja. Tengok dari segi kewajipan untuk menguasai bahasa selama tinggal di negara ini, kalau tak, timbulkan keadaan yang syak wasangka adakah betul dia warga sini kerana tak boleh langsung berbahasa misalnya,” katanya seperti yang dilapor Malaysiakini.

Kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan telah ditetapkan dalam Perlembagaan Persekutuan negara, kata Saifuddin.

Tambahnya lagi, ia menunjukkan betapa pentingnya bahasa itu kepada negara dan keperluan untuk setiap rakyat memahaminya.

“…kita tidak boleh berkompromi dalam hal ini, jika bahasa Malaysia adalah bahasa utama, maka kita mesti belajar bahasa Malaysia. Belajar untuk lulus.

“Tetapi adakah kita dilarang mempelajari bahasa lain? Sudah tentu tidak. Tetapi menjadi tanggungjawab setiap rakyat untuk mempelajarinya, dan ini kita tidak boleh berkompromi,” katanya.

Tambah Saifuddin lagi, mempunyai syak wasangka sedemikian telah membantu pihak berkuasa untuk menggagalkan banyak kes penipuan yang melibatkan dokumen perjalanan.

Baru-baru ini, seorang wanita berkongsi di Facebook mengenai pengalamannya berurusan dengan Jabatan Imigresen di Johor.

Menerusi hantaran asal namun sudah dipadam, seorang pegawai imigresen telah mengherdik anak wanita itu kerana menjawab soalan dalam bahasa Inggeris.

Tambahnya lagi, wanita itu dan anak perempuannya kemudian menjelaskan bahawa mereka telah menetap di Singapura sejak kecil dan mendapat pendidikan di republik itu, justeru penguasaan bahasa Melayu mereka lemah.

Sumber