Pasukan Mercedes mengesahkan bakal memperlihatkan pakej naik naik taraf besar seterusnya bagi jentera Formula 1 (F1) mereka menjelang penganjuran Bahrain Grand Prix (GP) di Malaysia, dalam usaha meraih semula penguasaan pada sesi kelayakan.
Skuad Silver Arrows kini mendahului carta kejuaraan musim 2026 dengan kelebihan 145 mata di hadapan saingan terdekat, Ferrari, biarpun tidak memperkenalkan sebarang kemas kini utama sejak GP Montreal pada Mei lalu.
Mercedes sebelum ini lebih cenderung menggunakan kemas kini minor mengikut kesesuaian litar, manakala pencabar utama seperti Ferrari dan McLaren mengambil pendekatan lebih agresif dalam pembangunan jentera masing-masing, petik Motorsport.
Pengeluar jentera dari Jerman itu kini berhasrat untuk mengukuhkan kembali penguasaan mereka menjelang GP Malaysia yang dijadualkan berlangsung pada 2 hingga 4 Oktober depan — pusingan yang menandakan kepulangan semula Malaysia ke dalam kalendar F1 bagi menggantikan Bahrain.
Bercakap dalam podcast Nu Silver Arrows Radio Show, Pengarah Kejuruteraan Litar Mercedes, Andrew Shovlin, menjelaskan bahawa tiada komponen baharu yang signifikan akan dibawa ke GP Baku kerana litar tersebut lebih menuntut kecekapan rintangan angin (drag) berbanding downforce.
“Kemas kini utama hanya akan diperkenalkan bermula di Malaysia dan kami berharap ia mampu membawa peningkatan prestasi yang ketara,” kata Shovlin. “Saya tidak jangkakan kita akan mendahului jauh di hadapan, tetapi sekurang-kurangnya kita kembali berada dalam posisi untuk merebut petak pertama (pole position) pada sesi kelayakan.”
Walaupun Mercedes memenangi dua perlumbaan terakhir di Monza dan Madrid menerusi pemandu mudanya, Kimi Antonelli, pasukan itu gagal meraih pole position sejak GP Belgium di Spa pada Julai lalu. Kemerosotan itu mengakhiri penguasaan cemerlang mereka di awal musim 2026 apabila berjaya menduduki petak pertama dalam 10 pusingan pembukaan secara berturut-turut.
“Pada awal musim, kami yakin jentera mampu meraih pole sekiranya prestasi maksimum dikeluarkan. Namun ketika ini, jurang antara tempat pertama dan keenam hanya dipisahkan satu atau dua persepuluh saat,” tambah Shovlin, sambil menegaskan fokus pasukan kini terarah kepada usaha mengoptimumkan keupayaan jentera di setiap litar.