Pengelola Liga Malaysia, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) bakal melaksanakan peraturan Financial Fair Play (FFP) bagi memastikan masalah kewangan yang melanda pasukan dalam liga boleh diatasi.

Perkara ini dinyatakan oleh Presiden MFL, Datuk Abd. Ghani Hassan ketika ditemui dalam satu majlis berbuka bersama media baru-baru ini dimana beliau menjelaskan antara fokus utama peraturan tersebut ialah mengatasi masalah tunggakan gaji yang masih menghantu saingan liga domestik.

Baca Juga:

Sebelum ini, saingan Liga Malaysia telah menggunakan Program Kawalan Ekonomi (ECP) yang diambil dari saingan La Liga Sepanyol namun menurut MFL terdapat beberapa perkara yang perlu ditambah baik.

“MFL akan melancarkan peraturan FFP. Sebelum ini kita ada program yang diambil daripada luar dan digunakan bulat-bulat tetapi ia tidak sesuai dengan liga kita.

“FFP kali ini seperti mana yang dicadangkan oleh DYAM TMJ dan akan mengikut kemampuan liga kita. Setiap pasukan akan isytiharkan berapa bajet mereka bagi satu musim termasuklah penaja yang masuk dan akan dihantar ke MFL. Sebagai contoh, sekiranya bajet pasukan sekitar RM10 Juta, maka mereka hanya boleh berbelanja sekitar RM8 Juta sahaja.

“Baki RM2 Juta itu akan disimpan untuk bayaran pengurusan dan sebagainya. MFL tak benarkan dana RM10 Juta dan dibelanjakan semuanya, akan ada simpanan pada peringkat kelab itu sendiri,” kata Datuk Abd Ghani.

Pada masa yang sama, MFL menyatakan teknologi Video Assistance Referee (VAR) akan digunakan dalam semua perlawanan Liga Super musim 2024/25.

MFL VAR
Sumber Gambar: Medium

“Status VAR ketika ini berada dalam keadaan yang baik. Kita sedang melengkapkan semua keperluan yang diperlukan untuk musim ini. Kita telah merancang untuk membuat ujian dalam satu kejohanan dimana FIFA juga akan turun padang bagi memastikan proses berjalan lancar sekaligus mereka memberi kelulusan untuk menggunakan teknologi tersebut dalam saingan Liga Malaysia.

“In sha allah tiada masalah. Yang mungkin menjadi masalah nanti ialah penerimaan khususnya dari peminat tentang teknologi ini. Datuk Stuart Ramalingam akan membuat sayu seminar dan memanggil pasukan bertanding serta media untuk memberi penjelasan secara terperinci mengenai teknologi tersebut,” tambah Datuk Abd Ghani.