Pengelola Liga Malaysia, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) digesa untuk melanarkan kempen anti keganasan dalam bola sepak selepas insiden yang melibatkan dua pemain skuad kebangsaan iaitu Akhyar Rashid dan Faisal Halim.

Bola sepak tanah air ketika ini dilanda oleh insiden keganasan yang tidak pernah berlaku sebelum ini selepas Akhyar disamun di kawasan berdekatan kediamannya di Kuala Terengganu manakala Faisal disimbah asid di salah sebuah pusat beli belah ternama di Petaling Jaya.

Baca Juga:

MFL

Akhyar Rashid

Keganasan di dalam bola sepak merupakan masalah utama yang dihadapi oleh pengelola liga di beberapa liga ternama di Eropah dimana ada beberapa kejadian keganasan yang melibatkan penyokong menyerang pemain di dalam stadium.

Pada 2023, Seorang peminat Nottingham Forest dijatuhi hukuman penjara selepas menyerang kapten Sheffield United, Billy Sharp selepas separuh akhir play-off antara Sheffield menentang Forest.

Pada tahun yang sama, seorang peminat Tottenham Hotspur dihukum dimana beliau tidak boleh menghadiri perlawanan di stadium selama empat tahun selepas menyerang penjaga gol Arsenal, Aaron Ramsdale ketika perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL).

Kejadian ini membawa kepada kempen yang dijalankan di seluruh negara yang dipanggil Love Football, Protect the Game yang menjanjikan larangan untuk penceroboh padang, lebih banyak pendakwaan jenayah dan perintah larangan stadium kepada sesiapa yang membuat kesalahan.

MFL selaku pengelola liga wajar untuk mengambil langkah sama bagi memastikan dua kejadian ini tidak berlaku pada masa akan datang.

Pihak polis sedang menyiasat dua kejadian yang menimpa pemain negara ini dan meminta orang awam agar tidak membuat spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan yang sedang dijalankan.

Apa yang pasti, pesalah perlu dibawa ke muka pengadilan bagi memastikan keadilan bagi Faisal dan Akhyar selain menjadi amaran kepada mana-mana pihak yang mahu membuat onar dalam saingan liga bola sepak Malaysia.