Pengelola Liga Malaysia, Malaysian Football League (MFL) hari ini mengumumkan kerjasama strategik dengan Grab Malaysia sebagai ‘Rakan e-Hailing & Pasaran Makanan Rasmi’ untuk MFL. Melalui kerjasama ini, Grab akan berpeluang untuk berinteraksi dengan peminat bola sepak di lapangan, termasuk pengguna Grab dan rakan-pemandu dan penghantar Grab.

Kerjasama ini bertujuan untuk meningkatkan pengalaman peminat bola sepak melalui pelbagai usaha, sama ada secara langsung di padang semasa perlawanan atau di aplikasi Grab, bermula dengan Piala Sultan Haji Ahmad Shah – Perlawanan Sumbangsih pada 10 Mei ini. Bersempena dengan Perlawanan Sumbangsih ini, para peminat boleh menikmati pelbagai tawaran menarik untuk meraikan demam bola sepak di aplikasi Grab.

Baca Juga:

Adelene Foo, Pengarah Urusan, Grab Malaysia berkata, “Sebagai jenama tempatan, kami amat teruja kerana dinamakan sebagai ‘Rakan e-Hailing & Pasaran Makanan Rasmi’ untuk Malaysian Football League (MFL).

“Kami memahami betapa pentingnya bola sepak dalam menyatukan negara serta memupuk semangat cinta pada negara. Melalui kerjasama ini, kami berhasrat untuk menyokong MFL dalam misinya untuk meningkatkan pengalaman bola sepak bagi para peminat di seluruh negara dengan memanfaatkan keupayaan teknologi dan inovasi kami. Bersama-sama, kami berharap agar dapat meningkatkan jangkauan dan impak bola sepak profesional di Malaysia.”

Datuk Stuart Ramalingam, Ketua Pegawai Eksekutif, Malaysian Football League (MFL), mengulangi sentimen Foo, dengan berkata, “Kami berbesar hati mengumumkan kerjasama terbaru dengan Grab Malaysia sebagai ‘Rakan e-Hailing & Pasaran Makanan Rasmi’ kami.

“Kami yakin Grab Malaysia akan meningkatkan keseluruhan pengalaman bagi peminat bola sepak yang hadir di acara bola sepak kami ataupun bagi mereka yang menonton dari rumah. Bola sepak sentiasa menjadi kuasa penyatuan di negara kita kerana ia menyatukan orang ramai dalam semangat yang sama terhadap sukan ini dan memupuk perpaduan serta kebersamaan.

“Kerjasama ini berhasrat untuk meningkatkan penglibatan dan pengalaman para peminat, serta mencipta detik yang tidak dapat dilupakan bagi mereka di seluruh Malaysia,”

Kerjasama ini akan menyokong MFL dalam misinya untuk memajukan lagi landskap bola sepak Malaysia, serta melambangkan matlamat bersama untuk memupuk bakat dan mendorong kemajuan dalam komuniti bola sepak.

Sokongan ini akan diperluaskan untuk memanfaatkan pelbagai entiti yang berada di bawah keleloan MFL, termasuk Perlawanan Sumbangsih, Liga Super, Piala FA, Piala Malaysia, MFL Challenge Cup dan Piala MFL.