Tenaga Nasional Berhad (TNB) menebus kekecewaan yang dialami dua musim berturut-turut apabila berjaya menjulang Piala Sumbangsih Liga Hoki Malaysia (MHL) 2024.

Lebih manis kemenangan itu hadir bertemu gergasi hoki tanah air, Terengganu Hockey Team (THT) menerusi penentuan pukulan penalti ‘shoot-out’ 3-1 selepas aksi 60 minit perlawanan terikat 2-2.

Baca Juga:

Melihatkan kepada keputusan perlawanan, TNB jelas tidak diberikan laluan mudah meskipun THT kali ini turun tanpa pemain import.

Gandingan tonggak berpengalaman THT yang ditunjangi Sukri Mutalib, Faizal Saari dan Fitri Saari dilihat cukup membantu barisan pemain muda untuk tampil cukup yakin bagi memberikan kesukaran buat skuad himpunan bintang TNB.

TNB yang dibimbing Nor Saiful Zaini Nasiruddin berjaya membuka tirai jaringan seawal minit ketiga menerusi pukulan sudut penalti Jang Jong-hyun.

Kedudukan berubah pada minit ke-24 selepas Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal mudah menolak masuk bola setelah menerima umpanan Muhammad Danish Danial Bin Abdul Wahab bagi menjadikan kedudukan 2-0.

Tersentak dengan gol tersebut, Fitri Saari melakukan gerakan solo yang disudahkan dengan ledakan padu tidak sampai seminit berselang untuk merapatkan jurang.

Aksi lebih menarik ditampilkan pada suku ketiga dan keempat dimana THT lebih banyak melakukan asakan manakala TNB mendapat peluang terbaik menerusi deretan pukulan sudut penalti.

Fitri menyamakan kedudukan pada minit ke-49 menerusi pukulan penalti strok selepas bola terkena kaki Jang ketika sudut penalti.

Jaringan itu jelas meningkatkan lagi tempo permainan yang menyaksikan TNB mendapat pukulan sudut penalti. Namun, Jang dan Syed Syafiq Syed Cholan gagal memanfaatkan peluang itu berikutan kepantasan larian ‘first runner’ THT, Akhimullah Anuar Esook.

Keputusan seri itu menyaksikan pemenang Piala Sumbangsih 2024 terpaksa ditentukan menerusi pukulan penalti ‘shoot-out’.

Situasi genting ini memperlihatkan pengalaman pemain TNB dimanfaatkan sepenuhnya dimana Shahril Saabah, Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi dan Azrai tidak berdepan masalah untuk menyempurnakan pukulan tersebut.

Manakala bagi THT, hanya Fitri Saari berjaya menjaringkan gol untuk perlawanan berkesudahan 3-1 memihak TNB.