Ketika peluang pada mulanya seakan tipis buat Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk menjuarai saingan Liga Hoki Malaysia (MHL) 2024, ia berubah sekelip mata selepas Nurinsafi Sporting berjaya mengikat juara bertahan, Terengganu Hockey Team (THT) 4-4, semalam.

Kedudukan seri itu sekali gus menyaksikan THT dan TNB kini terikat 23 mata bersama Maybank dan perlawanan liga hanya berbaki satu perlawanan sahaja lagi.

Baca Juga:

Keputusan seri di Stadium Hoki Bertam, Pulau Pinang itu jelas menjadi rezeki ‘terpijak’ buat TNB untuk merealisasikan impian menamatkan penantian juara dimana kali terakhir kelab tersebut menjuarai saingan liga pada musim 2003.

Melihatkan kepada prestasi semasa, TNB tidak akan berdepan masalah untuk menewaskan pasukan tangga terbawah, JM Antbees pada aksi terakhir nanti manakala THT pula perlu berhadapan Maybank.

TNB secara matematiknya hanya perlu mencatatkan kemenangan ke atas lawan tersebut untuk mengesahkan kejuaraan kerana skuad kendalian Nur Saiful Zaini Nasiruddin itu memiliki kelebihan jaringan cukup besar berbanding THT dan Maybank.

TNB memiliki 61 perbezaan jaringan hasil 70 gol dihasilkan dan sembilan kali dibolosi untuk jauh meninggalkan Maybank (42 perbezaan jaringan) dan hanya 25 dimiliki THT.

Ia juga bermakna TNB meninggalkan Maybank sebanyak 19 perbezaan jaringan dan 36 buat THT. Apatah lagi nanti TNB akan berdepan lawan yang paling banyak dibolosi dalam kempen liga.

Sebaik sahaja tamat kempen liga, lapan pasukan teratas akan beraksi dalam Piala TNB dimana THT merupakan juara bertahan.

Sementara itu bagi senarai penjaring terbanyak, Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal (TNB) dan Nur Rahull Hrsikesa Thaitchana Muruthi dari Nurinsafi Sporting sedang memimpin carta dengan 17 gol.

Dua pemain berkelas dunia, Jang Jong Hyun dan Faizal Saari pula berkongsi kedudukan kedua dengan 15 gol.