Pasukan Tenaga Nasional Berhad (TNB) melakukan perkara diluar kebiasaan buat kelab tersebut apabila mengumumkan peledak berbisa Korea Selatan, Jang Jong-hyun sebagai pemain import bagi menghadapi saingan Liga Hoki Malaysia (MHL) 2024.

Kebiasaannya TNB cukup sinonim dengan meletakkan kepercayaan terhadap 100 peratus pemain tempatan tetapi percaturan yang pertama kali dibuat sejak 1985 dengan pengambilan pemain import itu pastinya lebih menarik untuk disaksikan.

Baca Juga:

Kepakaran Jang seperti diketahui sebagai pakar pukulan sudut penalti ditagih ketua jurulatih TNB, Nor Saiful Zaini Nasiruddin dalam usaha untuk merampas kejuaraan daripada Terengganu Hockey Team (THT).

Bakal menjengah usia 40 tahun pada 28 Mac nanti, Jang tidak asing lagi dalam kancah hoki tempatan yang menyaksikan beberapa musim menyarung jersi THT dan turut pernah bersama KLHC.

Kehadiran Jang dilihat menjadi nilai tambah buat TNB yang turut diperkuatkan dengan 10 pemain kebangsaan iaitu Muhammad Marhan Jalil, Muhammad Firhan Ashaari, Muhamad Ramadan Rosli, Shello Silverius, Faiz Helmi Jali, Muhammad Amirul Hamizan Azahar, Norsyafiq Sumantri, Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi, Muhammad Shahril Saabah dan Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal.

Ini juga bermakna TNB cukup ampuh untuk merobek gawang lawan kerana mereka pada kini berjaya memiliki dua penjaring terbanyak liga musim lalu dimana Azrai Aizad meledakkan 40 gol dan diikuti Jang Jong-hyun yang mencipta 29 jaringan.

Satu keadaan yang menggambarkan TNB merupakan pasukan paling digeruni tanpa mengira ketika situasi pukulan sudut penalti atau jaringan padang kerana kemampuan hebat mampu dijelmakan kedua-dua pemain berlainan generasi itu.

TNB memulakan saingan dengan bertemu sebuah lagi pasukan pilihan juara, Maybank pada Jumaat ini di Padang 2 Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil.